
Mahkamah Majistret Klang menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kabel Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Sabtu lalu.
Majistret Nor Azilah Mat menetapkan hukuman berkenaan terhadap Railey Nasal, 35 dan memerintahkan hukuman tersebut dikenakan bermula dari tarikh tangkapan.
Lelaki itu didakwa mencuri kabel trek jenis 16mm sepanjang 40 meter dan jenis 2.5mm sepanjang 20 m milik KTMB bernilai RM850 dengan cara memutuskan kabel berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di landasan kereta api KTM berdekatan Jalan Sembilang 8E, Jalan Telok Pulai, di sini kira-kira 1.20 tengah hari pada 6 Jun.
Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sulfie Abu Hassan, manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Izzat Dzulkafli.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan ketika dipercayai sedang mencuri kabel di kawasan landasan kereta api di KM36.215 Downline Klang.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu terbongkar apabila anggota Polis Bantuan KTMB yang menjalankan rondaan bersama-sama Pasukan Taskforce D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat mengenai gangguan litar landasan di lokasi berkenaan.
































