
Selepas Honda memperkenalkan Fit facelift 2026 di Jepun, Mugen turut mengumumkan penambahan aksesori rasmi yang dibangunkan khas untuk model hatchback tersebut.
Fit facelift 2026 menerima rombakan varian dengan pengenalan Z menggantikan Home, manakala X menggantikan Basic. Fit kini terdiri daripada empat varian iaitu X, Z, RS dan Crosstar.
Varian Z tampil lebih sporti menerusi rekaan bahagian hadapan dan belakang yang diinspirasikan daripada RS.
Fit Z turut menerima stereng kulit tiga jejari, pemanas tempat duduk hadapan serta cermin hadapan dan cermin pintu hadapan dengan perlindungan UV dan IR sebagai kelengkapan standard.

Sementara itu, Fit RS menerima lebih banyak sentuhan eksklusif.
Antaranya ialah gril hadapan dan panel nombor pendaftaran belakang berwarna Piano Black, rim aloi 16 inci serta tempat duduk gabungan suede dengan jahitan merah.
Turut melengkapkan varian itu ialah paparan Honda CONNECT, pengecas telefon tanpa wayar, pedal sport keluli tahan karat dan pemanas stereng sebagai ciri standard.
Dari aspek mekanikal, Fit masih ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC atau sistem hibrid e:HEV yang menggabungkan enjin 1.5 liter bersama motor elektrik berkuasa 123PS dan 253Nm.

Mugen tampilkan pakej lebih agresif
Bagi melengkapkan imej lebih sporti, Mugen menambah aksesori untuk Fit facelift 2026 berasaskan konsep Life is Sports, yang menggabungkan elemen gaya dan prestasi untuk kegunaan harian.
Dari sudut penampilan, pakej itu merangkumi spoiler bawah hadapan, spoiler sisi dan spoiler bawah belakang yang direka bagi menyerlahkan karakter lebih agresif.
Turut ditawarkan ialah komponen gentian karbon seperti kemasan pintu belakang (tailgate garnish) daripada karbon kering serta perumah cermin sisi karbon bagi menambah imej premium dan sporti.
Rim 17 inci dan Performance Damper baharu
Antara komponen prestasi yang ditawarkan ialah rim aloi Mugen MDE bersaiz 17 inci, yang dibangunkan dengan gabungan berat lebih ringan serta ketegaran lebih tinggi.
Mugen turut menawarkan sistem ekzos sport yang direka khas untuk meningkatkan kecekapan aliran gas ekzos, mengurangkan bunyi yang tidak diingini serta menghasilkan bunyi ekzos yang lebih sporti.
Bagi model e:HEV, Mugen turut memperkenalkan Performance Damper baharu yang dibangunkan khusus untuk Fit facelift.
Komponen itu direka bagi meningkatkan kestabilan casis, mengurangkan getaran badan dan memberikan kualiti pemanduan yang lebih mantap.
Performance Damper dijual pada harga ¥143,000 (RM3,569) dan tempahan dibuka bermula 9 Julai 2026, dengan penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula pada penghujung Julai.
Aksesori Lain
Selain komponen prestasi, Mugen turut menawarkan pelbagai aksesori praktikal untuk kegunaan harian, termasuk visor berventilasi, karpet sport, alas ruang kargo sport, cermin sisi LED hidrofobik serta pelindung ambang pintu (scuff plate).
Dengan penambahan aksesori ini, pemilik Fit facelift 2026 boleh memilih sama ada menaik taraf penampilan luaran, meningkatkan pengalaman pemanduan atau menambah aspek praktikal mengikut keperluan masing-masing.
Kredit gambar: Mugen



































