
Honda Malaysia memperkukuh komitmen terhadap pembuatan mampan menerusi pemasangan sistem tenaga solar pertama di fasiliti pemasangannya di Alor Gajah, Melaka.
Projek bernilai RM14 juta itu adalah langkah awal syarikat ke arah mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.
Majlis perasmian dilakukan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Dibiayai sepenuhnya oleh Honda Malaysia, pelaburan ini mencerminkan usaha syarikat mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan tanggungjawab alam sekitar.
Sistem itu melibatkan 8,960 panel solar di bumbung kilang dengan kapasiti melebihi 5.6 megawatt.

Ia dijangka menjana sekitar 7,042 megawatt-jam tenaga boleh diperbaharui setahun, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 4,584 tan setahun.
Jumlah itu bersamaan hampir 10 peratus daripada keseluruhan pelepasan karbon kilang berkenaan.
Selain sistem solar Photovoltaic, Honda Malaysia turut memasang Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bagi menyimpan lebihan tenaga untuk kegunaan ketika diperlukan.
Menurut Honda Malaysia,. mereka adalah antara perintis pengguna elektrik industri di Malaysia yang melaksanakan teknologi BESS, bagi meningkatkan kecekapan tenaga boleh diperbaharui dan menstabilkan bekalan elektrik operasi kilang.

Honda Malaysia turut memperoleh pensijilan Climate and Sustainability Industry Readiness Index dengan penarafan 3.07 bintang, membuktikan kesiapsiagaan syarikat dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki menyatakan projek itu bukan hanya mengurangkan impak alam sekitar, malah mencerminkan komitmen terhadap aspek kebertanggungjawab dalam operasi.
Beliau memaklumkan, inisiatif tenaga solar akan diperluas ke gudang alat ganti Honda Malaysia di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2027.
Agenda kelestarian itu juga turut melibatkan rangkaian pengedar Honda menerusi inisiatif seperti sistem penuaian air hujan dan pelupusan bateri secara bertanggungjawab.
Honda Malaysia merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan atas sokongan, termasuk menerusi insentif Green Investment Tax Allowance.
Projek ini selari dengan aspirasi negara memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta menyokong visi global Honda untuk mencapai neutral karbon bagi semua produk dan aktiviti korporat menjelang 2050.
































