Utama Berita Automotif PROTON catat jualan 22,632 unit sepanjang Ogos, tertinggi dalam sejarah

PROTON catat jualan 22,632 unit sepanjang Ogos, tertinggi dalam sejarah

7

Proton Holdings Bhd (PROTON) mencatat rekod baharu dengan jualan domestik bulanan tertinggi dalam sejarah syarikat iaitu 22,632 unit pada Ogos 2026.

Ia juga merupakan prestasi bulanan terbaik PROTON sejak Januari 2010.

Angka itu melonjak 22.7 peratus berbanding Julai. Secara terkumpul, jualan lapan bulan pertama 2026 mencecah 141,421 unit, peningkatan 40.2 peratus tahun ke tahun.

Berdasarkan anggaran Jumlah Keseluruhan Industri, bahagian pasaran PROTON pada Ogos dijangka mencapai 27.9 peratus, sekali gus meningkatkan bahagian pasaran tahun hingga kini YTD kepada 25.6 peratus.

Prestasi kukuh disumbang barisan enjin pembakaran dalaman ICE, permintaan tinggi terhadap Proton e.MAS dan peningkatan jualan eksport.

Model sedan segmen-C Proton S70 mencatat rekod peribadi dengan 3,235 unit diserahkan pada Ogos.

Jumlah jualan YTD S70 kini 17,953 unit, sudah melepasi keseluruhan jualan 2025 dengan baki empat bulan lagi.

Bagi segmen SUV, Proton X50 kekal peneraju SUV segmen-B terlaris di Malaysia dengan 2,274 unit pada Ogos.

Manakala Proton X90 terus mendominasi SUV tujuh tempat duduk segmen-D dengan 471 unit, prestasi 64 peratus lebih tinggi berbanding 2025.

Proton Saga pula merekodkan 7,347 unit pada Ogos. Jumlah YTD menghampiri 60,000 unit, iaitu 33.3 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu dan di landasan untuk melepasi 80,000 unit tahun ini.

Dalam segmen EV, Proton e.MAS sekali lagi mencatat rekod dengan 6,047 unit diserahkan pada Ogos. Jumlah YTD kini 27,860 unit.

Gambar hiasan

Proton e.MAS 5 menjadi penyumbang utama dengan 4,818 unit, sekaligus mencipta rekod nasional baharu bagi jualan bulanan tertinggi satu model EV. e.MAS 7 merekodkan 613 unit dan e.MAS 7 PHEV pula 616 unit.

Bagi eksport, PROTON mencatatkan 2,477 unit pada Ogos, tertinggi sejak Januari 2011. Jumlah eksport YTD kini 6,059 unit, sudah melepasi keseluruhan eksport 2025 dalam tempoh lapan bulan sahaja.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, pencapaian ini mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap teknologi, kualiti, keselamatan dan nilai yang ditawarkan PROTON.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here