Toyota Corolla Altis 2019 dilancar, generasi ke-12 kini dengan Toyota Safety Sense

3337

Nampaknya pasaran segmen-C semakin rancak semula kali ini, dengan Toyota Corolla Altis 2019 serba baharu yang telah dilancarkan.

Toyota Corolla generasi ke-12 ini akan menjadi pesaing kepada Mazda3 serba baharu yang dilancarkan beberapa bulan lepas dan Honda Civic 2019 versi facelift yang juga akan dilancar tidak lama lagi.



Corolla Altis ini merupakan versi import sepenuhnya (CBU) yang dipasang dari Thailand.

Dua varian Corolla Altis akan ditawarkan, iaitu 1.8G pada RM136,888 dan 1.8E pada RM128,888. Kedua-dua model ini dipacu oleh enjin 1.8-liter 2ZR-FE yang menghasilkan 139PS pada 6,400rpm dan 173Nm tork pada 4,000rpm.

Transmisi pula ialah Shiftmatic CVT dengan 7-kelajuan maya.

Nampaknya tiada pilihan hibrid dan versi GR seperti di Thailand ditawarkan (buat masa ini, ehem UMW).

Corolla Altis 2019 ini dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture yang sama diguna oleh CH-R. Platform ini dijuruterakan untuk memberikan prestasi, dinamik pemanduan serta keselesaan lebih baik.

Antara perkara utama pada Corolla Altis serba baharu ini ialah ia akan menerima Toyota Safety Sense (TSS) terbaharu, iaitu ciri keselamatan canggih.

TSS ini hanya terdapat pada 1.8G, dan merangkumi Pre-Collision System, Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Lane Tracing Assist, Dynamic Radar Cruise Control, Automatic High Beam dan Blind Spot Monitor.

Untuk gaya luaran, Toyota memperkenalkan tema dinamik untuk Corolla, seperti pada model-model sebelum ini.

Kelengkapan standard adalah rim 16-inci, lampu depan halogen, lampu belakang LED, skrin TFT LCD 4.2-inci, penghawa dingin automatik, corong penghawa dingin belakang, sistem infotainmen dengan skrin 6.8-inci, tempat duduk fabrik dan pelarasan berkuasa lapan arah.

Sementara itu, varian 1.8G akan menerima penambahan rim 17-inci, lampu depan LED, penggilap cermin automatik, penghawa dingin dwi-zon, tempat duduk kulit, brek parkir elektronik, paddle-shifters, pengecas tanpa-wayar Qi, Panoramic View Monitor dan Digital Video Recorder depan dan belakang.

Pilihan warna

Lima warna pilihan diberikan, iaitu Celestite Grey Metallic, Silver Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic, dan warna unik White Pearl Crystal Shine berharga RM800.

Toyota Corolla Altis serba baharu ini boleh mula didapati di bilik-bilik pameran Toyota di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari toyota.com.my atau hubungi 1-800-8-TOYOTA (869682).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here