Hafizh Syahrin bertarung semusim tanpa gaji

1948

Setelah membuat keputusan untuk kembali ke Moto2, pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah berdepan situasi lebih sukar apabila bakal mengharungi tempoh semusim tahun depan tanpa dibayar gaji.

Hafizh ketika sidang media mengumumkan bakal beraksi bersama pasukan Angel Nieto musim depan berkata, dia kekal bersemangat untuk beraksi walaupun tanpa bergaji dengan harapan dapat kembali semula ke MotoGP secepat mungkin.

“Saya ambil ia sebagai satu cabaran dan pembakar semangat. Saya mahu buktikan kepada semua pihak bahawa saya mampu memberi saingan tahun depan.

“Saya ambil peluang ini walaupun tahu tidak bergaji. Bermakna sekarang saya perlu mencari penaja yang boleh menaja tiket penerbangan, penginapan serta kos latihan ketika di luar negara.

“Setakat ini saya belum kira anggaran kos keseluruan diperlukan,” katanya yang mengikat kontrak setahun bersama Angel Nieto dengan sasaran untuk menduduki kelompok lima terbaik. Hafizh yang pada musim ini beraksi bersama Red Bull KTM Tech 3 di dalam saingan MotoGP berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali adalah individu yang banyak membantunya.

“Dia beritahu sekiranya saya dapat menamatkan musim depan di kelompok lima terbaik, ada peluang untuk saya ke MotoGP tahun seterusnya. Jika di kedudukan 10 atau 15 terbaik, masih kekal untuk beraksi di Moto2. Tapi andai selain keputusan itu, maka karier saya akan berakhir tahun depan,” katanya.

Pelumba berusia 25 tahun itu juga buat kali pertama meluahkan rasa kecewa dengan jentera KTM yang ditunggangnya ketika ini.

“Pakej jentera saya dengan Miguel Oliveira (rakan sepasukan) sangat berbeza. Apa yang dijanjikan oleh pasukan tak sama seperti saya dapat. Saya terpaksa menggunakan enjin yang daripada awal musim tiada sebarang perubahan,” katanya.

Hafizh Syahrin bergelut pada musim ini apabila hanya mampu meraih tujuh mata selepas 15 pusingan.

Komen anda mungkin membantu