Litar Sepang sedia hadapi cuaca buruk menjelang GP Malaysia

2564

Ramalan kaji cuaca diramalkan hujan minggu ini sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai penundaan jadual tiga hari Kejuaraan Motosikal Dunia, Grand Prix (GP) Malaysia bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun bagi pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC), mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada GP Malaysia nanti.  Mengambil contoh seperti tahun lalu, yang menyaksikan jadual perlumbaan pada Ahad terpaksa dipinda dua jam lebih awal berbanding jadual asal disebabkan faktor cuaca.



“Ramalan kaji cuaca meramalkan hujan pada setiap hari,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dalam sidang media pengumuman trafik di sini, hari ini.

“Kami akan memantau perkembangan cuaca setiap hari dan akan bekerjasama dengan pihak DORNA bagi merancang apakah langkah susulan yang perlu dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali

“Jika ada perubahan seperti tahun lalu, pengumuman akan dibuat. Tahun lalu, kami lihat dengan pengumuman dilakukan, ramai yang dapat makluman mengenai perubahan jadual itu tetapi ada juga sebaliknya. Kami akan mempertingkatnya (pengumuman makluman) jika ada perubahan nanti.”

Perlumbaan minggu lalu di GP Australia turut menyaksikan penundaan sesi kelayakan bagi kelas MotoGP yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu ditunda kepada Ahad pagi susulan cuaca buruk.

“Bagi SIC, kami sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Pernah satu ketika dulu, pada Sabtu, kami batalkan sesi kelayakan disebabkan hujan dan (sesi kelayakan) dibuat pada Ahad pagi. Jadi, bagi saya, itu SOP (Prosedur Operasi Standard) mereka (DORNA).

“Bagaimanapun, kita tunggu sajalah, keputusan akan dibuat pihak DORNA sendiri tetapi kami sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan yang bakal berlaku untuk GP Malaysia itu nanti,” kata Razlan yang turut mengumumkan beberapa penambahbaikan baharu bagi kemudahan penonton di litar Sepang.

Penambahbaikan

Ia merangkumi bumbung di bahagian tempat duduk utama’, kawasan paddock dan tandas awam yang perbelanjaan keseluruhan membabitkan kos keseluruhan sekitar RM15 juta hingga RM20 juta.

“Ini peruntukan yang kami dapat daripada penjimatan Formula Satu (F1) yang kami tamatkan kontrak dulu. Kami mempunyai dana yang baik, jadi kami minta daripada kerajaan untuk menggunakan dana itu untuk penambahbaikan ini,” kata Razlan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here