Perodua Malaysia bawa 15 atlet murid ke Jepun

1945

Perodua Malaysia menghantar 15 bakat muda daripada Program Pembangunan Bakat Badminton (PPBB) Kementerian Pendidikan Malaysia-Perodua ke Tokyo, Jepun.

Atlet-atlet murid ini mewakili negara untuk Pertandingan Badminton Junior Tiga-Negara yang akan menghimpunkan bakat sama dari Jepun dan Indonesia.



Pertandingan anjuran Daihatsu Motor Company Jepun (rakan teknikal dan teknologi Perodua) adalah anjuran kali pertama.

“Penyertaan Perodua dalam Pertandingan Badminton Junior Tiga-Negara ini akan memperkukuhkan lagi komitmen jangka panjang kami kepada sukan rakyat Malaysia. Bagi kami, program ini adalah salah satu daripada perancangan kami untuk memberi pendedahan awal kepada atlet murid untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

“Ia juga merupakan inisiatif Tanggungjawab Korporat kami ke arah pembangunan belia dan modal insan Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Sejumlah 40 orang murid (15 dari Malaysia, 15 Jepun dan 10 Indonesia), berumur 9-12 tahun, bertanding di Stadium Nasional Ajinomoto di Tokyo, Jepun bermula 24 Mac.

“Bagi pihak Perodua, saya mengucapkan terima kasih kepada Daihatsu kerana menganjurkan pertandingan ini antara tiga negara yang menggemari badminton.

“Tidak lupa kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas kerjasama membangunkan generasi bakat badminton Malaysia akan datang,” tambah Dato’ Zainal.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here