Volvo hadkan kelajuan semua kenderaan pada 180km/j, tiada guna 407hp dan 640Nm tork?

2266

Tidak sah jika bercakap mengenai keselamatan automotif tanpa menyebut nama Volvo. Dan sebagai pelopor keselamatan dalam industri, Volvo telah mengehadkan kelajuan kenderaannya pada 180km/j sahaja untuk 2020.

Perkara ini pastinya satu mesej besar buat pengeluar automotif lain. Ianya juga sebagai lanjutan dari visi pengeluar Sweden itu yang mensasarkan bahawa tiada lagi penumpang kenderaan Volvo akan terkorban atau cedera parah dalam kenderaan mereka menjelang 2020.



Selain membangunkan kenderaan mereka menjadi lebih selamat, Volvo sedar itu sahaja tidak mencukupi untuk merealisasikan visi itu. Justeru, mereka kini mahu mengubah kelakuan pemandu.

Kajian oleh Volvo Cars mendapati bahawa kelajuan menjadi satu jurang besar dalam menamatkan korban dan kecederaan serius dalam kenderaan mereka.

Masalah utama dengan memandu laju ialah, pada kelajuan melebihi tahap tertentu, teknologi keselamatan kereta serta infrastruktur pintar tidak dapat lagi mengelakkan kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

Selain dari mengehadkan kelajuan maksima, Volvo juga sedang mengkaji gabungan kawalan kelajuan pintar dengan teknologi geofencing yang membolehkan kereta mengehadkan kelajuan secara automatik di kawasan seperti sekolah dan hospital.

Kuasa 407hp dan 640Nm tidak berguna?

Kenderaan-kenderaan Volvo terkini dengan varian T8 dilengkapi enjin T8 Twin Engine e-AWD plug-in hibrid mempunyai enjin petrol Drive-E supercas dan turbo yang menghasilkan 320hp dan 400Nm tork, manakala motor elektrik menyalurkan 87hp dan 240Nm tork.

Ini memberikan jumlah keseluruhan kuasa sebanyak 407hp dan tork 640Nm.

Jadi dengan had laju ditetapkan oleh Volvo, adakah kuasa sebegini menjadi tidak berguna? Tinjauan maya kami di laman sosial mendapati netizen berkata “tiada guna kuasa sebegitu banyak”, dan “lebih baik Volvo pakai enjin 2.0-liter dengan 200hp sahaja”.

Benarkah begitu? Tidak juga. Sebenarnya, kesemua 407hp dan 640Nm boleh digunakan pada kelajuan bawah 100km/j sekalipun.

Katakan anda sedang memandu di jalan persekutuan di belakang lori treler pada kelajuan 70km/j. Bila keadaan selamat, kesemua kuasa boleh memudahkan anda memotong lori itu dengan mudah dan penuh keyakinan.

Kesemua ini dilakukan sekelip mata dan di bawah kelajuan 120km/j.

Lagi satu situasi mudah apabila di lampu isyarat. Anda bersantai-santai berhenti, dan terdapat Myvi turbo dengan ekzos buluh “bakar line”.

Maka pada saat itu juga 407hp dan 640Nm tork boleh digunakan untuk mencapai 100km/j dalam 4.4 saat dan anda mengalahkan Myvi itu dengan senyap, sementara Myvi itu “menjerit” mengejar Volvo anda.

Kesimpulannya, kami percaya dengan keputusan Volvo ini kerana mereka lebih arif dengan bab keselamatan dan mereka juga telah membuat kajian sebelum menetapkan dengan keputusan ini.

Tidak mustahil juga pengeluar lain akan mengikut jejak langkah Volvo kerana dengan perkembangan teknologi pemanduan autonomi, had laju dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Kami telahpun memandu uji Volvo S60 T8 ini, anda boleh baca laporan pandu uji itu di sini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here