Porsche 718 Cayman GT4 dan 718 Spyder tiba di Malaysia, jentera sports untuk pemandu sejati

2577

Sepasang jentera sports berenjin tengah telah tiba di Malaysia, iaitu Porsche 718 Cayman GT4 dan 718 Spyder.

Kedua-dua model ini menawarkan pengalaman pemanduan berbeza, tetapi sangat fokus untuk pemandu tegar.



Porsche 718 Cayman GT4 dan 718 Spyder ini diberikan enjin 4.0-liter NA flat-six yang diletak di antara kabin dan gandar belakang. Enjin yang Porsche katakan baharu ini menjana 420hp dan 420Nm tork.

Enjin ini mampu rev sehingga 8,000 rpm dan diasaskan dari keluarga enjin 4.0-liter yang sama pada model 911 GT3 dan GT3 RS.

Transmisi untuk kedua-dua kereta ini adalah manual sahaja, dengan enam nisbah gear. Terdapat fungsi auto-blip untuk menyempurnakan penukaran gear pemandu, namun bagi mereka yang lebih gemar heel-and-toe sendiri, fungsi ini boleh dipadam.

Prestasi adalah 4.4 saat untuk pecutan 0 ke 100km/j, dan kelajuan maksima melebihi 300km/j.

Khas untuk Cayman GT4, rekaan luarannya menghasilkan lebih 50 peratus downforce dari model biasa, tetapi tidak menambah sebarang seretan (drag).

Prestasi aerodinamik ini dicapai dengan lip depan, air cuirtain, spoiler belakang yang direka semula, dan diffuser belakang.

Konsep 718 Spyder pula ialah untuk mereka yang mahukan pengalaman pemanduan yang lebih terbuka.

Tetapi ia tetap mendapat elemen sporti seperti gril depan lebih besar untuk lebih aliran udara, serta panel-panel yang membantu mengurangkan drag. Sementara itu, spoiler belakangnya akan dinaikkan secara automatik pada kelajuan melebihi 120km/j untuk lebih kestabilan.

Suspensi kedua-dua kereta dipertingkat, dengan PASM sebagai standard. Ketinggian juga telah direndahkan sebanyak 1.18 inci dan terdapat pelarasan manual untuk tetapan ketinggian, camber, toe, dan bar anti-oleng.

Sama seperti sebelum ini, kedua-dua kereta meminjam komponen dari 911 GT3, iaitu suspensi dan brek depan. Selain brek besi 15-inci, terdapat juga Porsche Carbon Ceramic Brake untuk pilihan tambahan.

Rim adalah 20-inci depan dan belakang, dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 245 depan dan 295 belakang.

Seperti biasa juga, bahagian dalam seperti papan pemuka, stereng dan tempat duduk dilengkapi kemasan Alcantara yang berjiwa motorsport, dengan tombol gear lebih pendek.

Ciri bantuan pemanduan termasuklah Porsche Stability management (PSM) dan Porsche Torque Vectoring (PTV) dengan pengunci pembeda mekanikal untuk pecutan keluar selekoh lebih mantap.

Untuk lebih eksklusif, Porsche 718 Cayman GT4 boleh dilengkapi dengan pakej Clubsport. Ianya terdiri dari roll bar (bar guling), alat pemadam api, dan tali pinggang keledar enam-poin untuk pemandu.

Sementara itu, 718 Spyder boleh dipilih dengan pakej Spyder Classic untuk gaya lebih elegan, dengan elemen dari jentera lumba klasik Porsche. Pakej ini merangkumi bahagian kulit dalaman dwi-tona Bordeaux Red/Black.

Harga untuk Porsche 718 Cayman GT4 bermula pada RM999,000, manakala 718 Spyder bermula pada RM970,000 sebelum aksesori tambahan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here