Sudah bawa pulang kereta dari luar negara? Ini cara pengiraan cukai kastam untuk mendaftar

32600

Jika sebelum ini anda telah baca cara mengenai cara mengeksport kereta anda di Jepun untuk balik ke Malaysia, kali ini kita telitikan pula proses dan perkara terlibat untuk mengeluarkan dan mendaftar kereta itu.

Sekiranya ada belum baca, boleh baca dulu di sini.



Untuk proses seterusnya, kita akan keluarkan dan daftar kereta yang telah selamat mendarat di Port Klang.

Panduan ini dikongsi oleh Khairul Amzar Tansri melalui tulisan Facebook beliau yang merupakan sambungan kepada panduan mengeksport kereta itu.

Berikut adalah tulisannya yang kami ubah sedikit dengan mengekalkan fakta dan maklumat asal:

Alhamdulillah. Setelah berbulan-bulan menunggu, akhirnya kami telah menerima kenderaan yang kami eksport dari Jepun, semalam 9 Julai 2020.

Kelewatan proses ini adalah disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Berperingkat (PKPB) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia.

Ingin saya kongsikan, kereta saya dihantar kepada ejen di Port Nagoya pada 19 Mac 2020 dan sampai di Port Klang pada 12 April 2020. Mengambil masa 3 minggu sahaja untuk sampai ke Malaysia menggunakan perkhidmatan RoRo (Roll-in Roll-out).

Pada kali ini, saya ingin berkongsi pula prosedur yang perlu kita lakukan untuk mengeluarkan kereta dari Port Klang. Mari kita mulakan mengikut turutan.

1) Lantik Ejen Forwarding Berpengalaman

Ejen memainkan peranan paling penting bagi memastikan proses penghantaran dan pengeluaran kereta kita berjalan lancar. Saya menggunakan khidmat AMT Trading yang sangat dipercayai dan terkenal dengan servis tip-topnya.

Sejak di Nagoya, segala proses dan urusan kereta saya berjalan dengan lancar dan sistematik. Tahniah team AMT Trading, anda layak mendapat pujian daripada saya sebagai pelanggan. Boleh rujuk link di bawah untuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh AMT Trading.

https://am2trading.com/

2) Permohonan Permit Import (AP)

Perkara pertama yang perlu kita lakukan setelah kenderaan sampai di Port Klang adalah memohon AP di MITI. AP ni bukan automatik dapat, pemilik kenderaan perlu memohon di Kementerian. Ejen akan membantu kita dalam urusan permohonan AP ini.

Simpan segala dokumen berkaitan pembelian dan pemilikan kereta di negara yang kita tinggal dahulu. Ini sangat penting!

Saya senaraikan sebahagian salinan dokumen penting yang diperlukan berdasarkan negara yang saya tinggal, Jepun. Lain negara mungkin lain dokumen yang diperlukan. Antaranya adalah:

i) Visa
ii) Japan Driving License
iii) Offer Letter (study/working)
iv) Reporting Letter (employer/sponsor)
v) Shaken/Car Grant
vi) Car Invoice (seller)
vii) Boarding Pass (final flight)

Sekiranya dokumen dan maklumat cukup serta proses berjalan lancar, AP akan diluluskan dalam masa seminggu sahaja. Selepas berjaya mendapatkan AP, kita mohon penilaian cukai dari JKDM pula.

3) Pentaksiran Cukai Kenderaan Import oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)

Sebelum meneruskan penerangan, ingin saya ingatkan bahawa kenderaan kita masih kekal berada di storage bay Port Klang sehingga pembayaran cukai dibuat kepada JKDM. Lambat bayar, lambatlah kereta keluar dari port.

Part cukai ini memang ramai yang tertunggu-tunggu. Mana taknya, duit beb. Berapalah aku kena bayar nanti? Habislah duit simpanan aku! Ayat ini semestinya berlegar-legar di fikiran. Haha

Saya akan berikan contoh penilaian dan pentaksiran cukai oleh JKDM.

Tapi ingin saya ingatkan bahawa pengiraan di bawah adalah ANGGARAN sahaja, BUKAN NILAI SEBENAR. Nilai sebenar cukai akan ditaksirkan oleh pegawai JKDM bertauliah.

Okay, pertama sekali kita harus mengetahui nilai CIF (Cost, Insurance, Freight) kenderaan kita. CIF akan dinilai oleh JKDM, dan berbeza mengikut kenderaan. Tetapi kita boleh membuat rujukan nilai CIF berdasarkan dokumen yang dikeluarkan oleh JKDM pada tahun 2013 pada pautan di bawah.

NILAI CIF BAGI KENDERAAN IMPORT TERPAKAI TAHUN 2013

http://www.customs.gov.my/en/pg/pg_co1/Customs%20Order%20Bil%2018%20and%2019%20(2013)/pua_20131212_P.U.%20(A)356-perintah%20kastam%20(nilai-nilai%20kenderaan%20motor%20pasang%20siap%20yang%20diimport)%20(terpakai)%202013.pdf

Sekarang saya akan membuat contoh kira-kira cukai yang perlu kita bayar mengikut nilai CIF yang dikeluarkan oleh JKDM dalam jadual di atas. Sekali lagi saya ingatkan, ini adalah ANGGARAN SAHAJA! Nilai CIF sebenar dan pengiraan tepat HANYA ditentukan oleh JKDM.

Ambil maklum tentang EMPAT perkara di bawah.

i) Nilai CIF (berdasarkan taksiran semasa JKDM)

ii) Duti Import 30% (semua kenderaan)

iii) Duti Eksais (berbeza ikut kelas dan cc kenderaan)

Sedan:
75% 1,800cc ke bawah
80% 1,800-2,000cc
90% 2,000-2,500cc
105% 2,500cc ke atas

MPV:
65% 1,800cc ke bawah
75% 1,800-2,000cc
90% 2,000-2,500cc
105% 2,500cc ke atas

iv) Cukai Jualan 10%

Dah download belum jadual di atas? Cepat download. Saya akan buat kira-kira untuk MPV

Honda Odyssey 2,400cc umur 48-60 bulan.

Rujuk jadual muka surat 22, row/baris 30, ‘Honda Odyssey L FF’. Column 6, usia kenderaan 48-60 bulan, nilai CIF adalah RM21,793.

CIF = RM21,800 (saya genapkan untuk mudah buat kira-kira)

Duti Import = 30% x CIF = RM6,540

Duti Eksais = 90% × (CIF + Duti Import) = RM25,505

Cukai Jualan = 10% x (CIF + Duti Import + Duti Eksais) = RM5,385

Total = Duti Import + Duti Eksais + Cukai Jualan = RM37,430

Jadi bayaran yang perlu dibayar kepada JKDM adalah sebanyak RM37,430 secara tunai. Lagi mahal kereta lagi mahal lah kena bayar cukai. Haaa okay ke tak?

Kita juga boleh cuba mohon pengurangan cukai daripada JKDM. Ada rezeki dapatlah kurang sikit, tak banyak mana pun. Ejen boleh assist kita dalam hal ini.

Setelah bayaran dibuat, ejen akan keluarkan kereta kita dari port dan disimpan dalam store ejen pula sehingga kereta layak berada di jalanraya.

Macam saya cakap tadi, lambat bayar lambat keluar kereta dan makin bertambah kos. Sebab port akan caj kita sehari RM8-RM10 untuk storage. Kereta saya disimpan selama 82 hari di port disebabkan PKP, kira sendirilah berapa banyak saya kena bayar untuk storage sahaja. Nasib saya kurang baik pada musim Covid19 ini. Biasanya dalam 2-3 minggu sahaja dalam storage port.

4) Insuran, PUSPAKOM dan Pendaftaran Kenderaan

Sekarang kereta kita sudah berada dalam simpanan ejen. Kalau guna servis AMT Trading ni, jangan risau. Tempat simpanan mereka selamat, saya sendiri telah melawat kawasan ini. Sebenarnya rindu nak tengok kereta setelah berbulan-bulan tak ada depan mata.

Kereta dijaga dengan baik, tiada satu barang pun yang hilang walaupun ada beberapa aksesori kereta berharga saya simpan di dalamnya.

Bila dah ada dalam simpanan ejen, kita boleh dapat kereta dalam masa seminggu setelah ejen selesaikan proses di Puspakom dan JPJ. Tapi bergantung juga pada keadaan semasa. Saya kena dua minggu sebab menunggu giliran Puspakom. Maklumlah lepas PKP ni, semua orang berpusu-pusu ke Puspakom dan JPJ.

Dalam tempoh ini, kita akan berurusan dengan ejen tentang insuran dan pendaftaran kenderaan. Ejen boleh uruskan semua. Nak insured berapa, nak booking nombor plat, nak itu, nak ini semua boleh deal dengan ejen AMT Trading yang sempoi dan sangat membantu.

Cuma bab nombor plat ni saya mohon sendiri di JPJ disebabkan beberapa kekangan yang dihadapi. Ke sana ke sini ke sana ke sini nak nombor yang diinginkan. Alhamdulillah Allah bagi jalan dan permudahkan semuanya.

Alhamdulillah kereta saya selesai didaftarkan pada hari Khamis, 9 Julai 2020 setelah 3 bulan 3 minggu menunggu. Kali terakhir saya melihatnya di Port Nagoya 19 Mac 2020 dengan doa dan harapan agar dipermudahkan semuanya. Alhamdulillah Tuhan kabulkan doa saya dan juga ahli keluarga. Kalau tak kerana PKP, kurang dari 2 bulan kita dah boleh dapat kereta.

5) Jumlah Kos Bawa Pulang Kereta dari Jepun

Kalau cerita bab kos total ini agak subjektif kerana ianya bergantung pada kenderaan masing-masing. Tetapi secara dasarnya, kita boleh tahu anggaran nilai keseluruhan. Harga cukai dah reti kira sendiri kan?

Ingin saya ingatkan, segala prosedur di atas boleh dibuat sendiri tanpa bantuan daripada ejen. Tapi maklumlah kita newbie ni mana reti sangat turutan proses, makan masa pula, PKP pula, macam-macam nak difikirkan.

Konklusinya, bayaran shipping dari Port Nagoya ke Port Klang adalah sebanyak ¥88000 (RM3,600) dibayar di Jepun. Bayaran proses dan perkhidmatan ejen RM2,300+-. Bayaran cukai bergantung kepada JKDM. Bayaran port RM10 sehari.

Bayaran pendaftaran kenderaan dan roadtax RM1,000. Bayaran insuran bergantung kepada harga semasa kereta dan NCD. Harga noombor plat lagi kalau nak pakai nombor special. Haaa kira lah sendiri. Saya punya lebih RM40k, tidak termasuk harga kereta.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian saya pada kali ini. Semoga posting ini dapat memberi sedikit manfaat dan menjadi rujukan bagi mereka yang memerlukan. 

Sekali lagi saya nasihatkan, pilihlah ejen yang berpengalaman dan bertauliah untuk mengendalikan kenderaan anda. Hal ini sangatlah penting bagi memastikan segalanya berjalan lancar dari A-Z, di Jepun mahupun di Malaysia.

Bagi mereka yang masih berada di Jepun dan ingin membawa kereta atau barangan pulang ke Malaysia, pilihlah AMT Trading!

Sepanjang tempoh kenderaan dan barangan peribadi dalam perjalanan sampai ke tangan kita, perbanyakkanlah doa memohon kepadaNya agar dilindungi daripada segala malapetaka, bala bencana dan marabahaya. Tuhan akan kabulkan. Semoga kita semua berada dalam rahmat dan redha Allah selalu, Inshaallah.

Bagi penjual kereta import, kini ada satu aplikasi untuk membantu anda  mengira cukai kenderaan import dengan mudah. Anda boleh layari https://kiraduti.com

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

5 KOMEN

  1. hi bang . tumpang tnya kalau harga kereta tu dkt malaysia 500,000 tapi saya beli di australia dlm 50k dollar (RM150k) berapa ye agak nya cukai yg kita kena bayar . berbaloi ke kita bwa kereta tu ke malaysia. sorry saya tak pandai nk kira2 ni n kurang faham cara kira nya .

    • Kami pun kurang arif, struktur cukai berbeza mengikut jenis kereta dan negara asal. Tapi jika tuan sayang sangat dengan kereta tu, boleh ikhtiarkan untuk bawa balik ke sini, memang berbaloi dengan penjimatan. Lagi satu, cuba semak sama ada enjin dia sesuai dengan gred petrol kita.

  2. salam, AP ni kalau pembeli bukan pernah berada luar negara mmg tak boleh dapat AP ke?
    mcm ejen dapatkan AP yg AMT Trading ya?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here