
China telah mengeksport sebanyak 8.32 juta kenderaan pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ia melibatkan eksport 3.43 juta kenderaan tenaga baharu (NEV), peningkatan 70 peratus tahun ke tahun yang mana nisbah pertumbuhan tertinggi signifikan berbanding 16% pada tahun 2024, menurut Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA).
Tiga negara teratas bagi eksport kenderaan dari China ialah Mexico, Rusia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dari tahun 2023 hingga 2024, pasaran eksport utama kenderaan China adalah Rusia, Mexico, Belgium, Australia, Arab Saudi, dan United Kingdom (UK). Baru-baru ini, Australia, UAE, dan UK menunjukkan prestasi yang semakin bertambah baik.

Pada tahun 2025, struktur pasaran berubah apabila Mexico naik ke tangga teratas dan eksport ke UAE meningkat.
Secara khusus, eksport ke UAE melonjak semula ke kedudukan pertama pada bulan Disember. Selain itu, eksport ke pasaran UK menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sementara Australia kekal stabil, manakala Brazil mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.
Dari segi eksport NEV, kenderaan elektrik (EV) merangkumi 28 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport kenderaan China (peningkatan 2% berbanding tahun lalu), kenderaan plug in hibrid (PHEV) menyumbang 13% (peningkatan 8%), dan kenderaan hibrid menyumbang 6% (peningkatan 2%).
Sebaliknya, kenderaan berkuasa petrol konvensional merangkumi 43% (penurunan sebanyak 11%).
Belgium merupakan pengimport terbesar bagi NEV China, diikuti oleh UK dan Mexico. Thailand, Indonesia, dan India turut tersenarai dalam kelompok 10 pengimport teratas NEV China, walaupun negara-negara tersebut tidak berada dalam senarai 10 pengimport teratas bagi keseluruhan kenderaan China.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, eksport kenderaan China terus menunjukkan ciri bermusim, dengan trend eksport yang lebih tinggi pada musim panas, berbeza dengan trend pasaran domestik.
Pada Januari 2025, pertumbuhan eksport agak kukuh, namun eksport menjadi perlahan dari Februari hingga April akibat kesan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat. Seterusnya, eksport pulih semula dari Mei hingga November, dan terdapat lonjakan kuat dalam eksport kereta terpakai pada Disember.



























