Utama Berita Automotif Ducati Monster Sport Livery 2026, inspirasi Monster S4, raksasa tak perlu menjerit...

Ducati Monster Sport Livery 2026, inspirasi Monster S4, raksasa tak perlu menjerit perhatian

5

Ducati menambah pilihan warna bagi model ikonik Monster dan Monster Plus melalui pengenalan Sport Livery baharu. Penampilan terbaharu ini dijadualkan mula berada di bilik pameran seluruh Eropah bermula April 2026.

Sport Livery ini akan melengkapkan pilihan warna sedia ada iaitu Ducati Red dan Iceberg White yang telah diperkenalkan pada Oktober lalu semasa pelancaran Monster baharu.

Inspirasi reka bentuk ini diambil daripada skema warna model ikonik S4, iaitu Monster empat injap pertama dalam sejarah Ducati.

Padanan warna kelabu dengan perincian Racing Red pada rim, pelana, penghadang angin, ekor dan tangki bahan api menghasilkan gayaan yang sporti dan anggun.

Bagi versi Plus, ia turut dilengkapi dengan fairing hadapan dan penutup pelana pembonceng untuk menyerlahkan lagi karakter sport jentera ini.

Enjin V2 dan VC 45 Ribu km

Monster dikuasakan oleh enjin 890cc V2 baharu yang menghasilkan kuasa maksimum 111 ps pada 9,000 rpm dan tork maksimum 91.1Nm pada 7,250 rpm.

Keistimewaan enjin ini adalah hantaran tork yang tinggi di mana lebih daripada 80% tork puncak tersedia antara julat 4,000 hingga 10,000 rpm.

Enjin ini bukan sahaja responsif, malah menawarkan kecekapan penyelenggaraan dengan selang servis pelarasan injap (VC) setiap 45,000 km.

Bagi memenuhi keperluan pelbagai peringkat penunggang, Ducati turut menawarkan versi 35 kWj (48 ps) untuk pemegang lesen A2 di Eropah.

Casis dan Berat Lebih Ringan

Kekuatan utama Monster terletak pada beratnya yang ringan.

Berat jentera dikurangkan sebanyak 4 kg berbanding generasi sebelumnya susulan penggunaan rangka monokok aluminium berasaskan teknologi superbike serta subbingkai belakang yang menggabungkan bahan tekno-polimer dengan struktur kerangka trellis.

Hasilnya adalah sebuah motosikal yang tangkas dan kompak untuk navigasi trafik serta memastikan kawalan penuh dalam apa jua situasi.

Aspek ergonomik juga dititikberatkan dengan ketinggian pelana hanya 815 mm dan sisi motosikal yang tirus bagi memudahkan kaki menjejak ke tanah.

Kedudukan pemijak kaki dan hendal direka untuk memberikan keselesaan dalam penggunaan santai namun tetap menawarkan kawalan penuh semasa tunggangan sport.

Teknologi dan Sistem Elektronik

Monster dilengkapi dengan pakej elektronik moden untuk keselamatan dan keseronokan menunggang.

Sistem standard termasuk ABS Cornering, Traction Control, Wheelie Control dan Engine Brake Control yang boleh dilaraskan pada pelbagai tahap.

Segala maklumat dipaparkan melalui skrin TFT warna 5 inci yang sedia untuk dipadankan dengan Ducati Multimedia System serta navigasi turn-by-turn.

Buat pertama kalinya, model ini juga boleh dilengkapi dengan Kawalan Jelajah.

Terdapat empat Riding Modes yang boleh ditukar dengan hanya satu butang.

Urban Riding Mode memudahkan penunggang baharu atau kegunaan dalam bandar untuk mendapatkan keyakinan dengan lebih cepat.

Sport Riding Mode pula memberikan hantaran kuasa lebih bertenaga untuk jalan berliku dengan sokongan sistem pengurusan elektronik seperti DTC, DWC dan EBC.

Selain itu, ciri Ducati Power Launch turut disertakan untuk memberikan pengalaman pecutan bermula seperti jentera MotoGP.

Aksesori Ducati Performance dan Harga

Pemilik boleh mengubah suai jentera mereka melalui aksesori Ducati Performance seperti peredam bunyi Termignoni, pelindung bawah enjin dan pemegang nombor pendaftaran.

Di pasaran Eropah, Monster Sport Livery ditawarkan pada harga bermula €13,390 (RM60,576) manakala versi Plus pula bermula pada €13,890 (RM62,838).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here