Utama Berita Automotif Mitsubishi Triton 2026 diperkenal di Jepun, guna Yamaha Performance Damper!

Mitsubishi Triton 2026 diperkenal di Jepun, guna Yamaha Performance Damper!

7

Mitsubishi Motors Corporation memperkenalkan Mitsubishi Triton 2026 dengan beberapa penambahbaikan bagi pasaran Jepun.

Model ini bakal dijual di semua rangkaian pengedar sah di seluruh negara itu bermula 19 Februari 2026.

Peningkatan Kualiti Pemanduan dan Keselesaan

Fokus utama bagi kemas kini kali ini adalah untuk meningkatkan tahap keselesaan pemanduan serta kestabilan kenderaan.

Pihak Mitsubishi telah mengoptimumkan sistem suspensi hadapan serta tetapan pada cagak badan bagi menyerap getaran dengan lebih berkesan.

Selain itu, tindak balas bagi penyerap hentak hadapan dan belakang juga telah dipertingkatkan untuk mencapai keseimbangan antara keselesaan premium dan pengendalian yang lebih jitu.

Penggunaan Yamaha Performance Damper

Satu perubahan ketara pada Trition 2026 adalah penggunaan Yamaha Performance Damper yang dipasang pada bahagian hadapan dan belakang rangka.

Ini kali pertama komponen tersebut dipasang sebagai peralatan standard bagi kenderaan pengeluaran skala besar Mitsubishi Motors.

Teknologi ini sebenarnya telah diuji melalui jentera rali Triton yang menyertai XCR Sprint Cup Rally, di mana para pemandu memberikan maklum balas positif terhadap pengendalian yang menjadi lebih tajam.

Talaan khas telah dilakukan supaya pemandu dapat merasai kualiti pemanduan yang lebih baik bukan sahaja dalam pemanduan ekstrem, malah dalam kegunaan harian di bandar.

Kelebihan Teknikal

Secara teknikal, badan kenderaan penumpang dan motosikal biasanya akan mengalami sedikit perubahan bentuk atau deformasi kurang daripada 1 mm semasa dipandu.

Oleh kerana badan logam bersifat kenyal dan sukar menyerap gegaran secara semula jadi, tenaga daripada impak permukaan jalan akan terkumpul dan dilepaskan semula.

Keadaan ini menyebabkan badan kenderaan bergetar berulang kali pada frekuensi tertentu.

Dengan menambah elemen redaman menerusi Yamaha Performance Damper, ia berfungsi menyerap tenaga tersebut dan membebaskannya sebagai tenaga haba.

Proses ini mampu menahan pergerakan badan yang berlebihan serta menyerap getaran halus daripada enjin dan ayunan semasa melalui jalan tidak rata.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2000, teknologi ini telah mencatatkan jualan terkumpul sebanyak 3,000,000 unit setakat November 2023.

Perubahan Luaran dan Dalaman

Dari aspek kosmetik, Triton 2026 tampil dengan perubahan kecil melalui penggunaan kemasan berwarna Dark Titanium pada bahagian konsol tengah dan pemegang pintu.

Bagi memudahkan urusan harian, ciri Tailgate Assist yang membolehkan pintu kargo belakang dibuka dan ditutup dengan lebih ringan dipasang sebagai ciri asas bagi semua varian.

Harga Jualan di Jepun

Bagi pasaran Jepun, Mitsubishi Triton ditawarkan dalam dua varian utama dengan harga berikut:

  • Varian GLS: ¥4,983,000 (RM128,312)
  • Varian GSR: ¥5,401,000 (RM139,075)

Ringkasan Perubahan Baharu

  • Pemasangan Yamaha Performance Damper pada bahagian hadapan dan belakang rangka untuk menyerap getaran dan deformasi badan
  • Pengoptimuman sistem suspensi hadapan dan tetapan cagak badan bagi mengurangkan gegaran dalam kabin

  • Peningkatan respons pada penyerap hentak hadapan dan belakang untuk pengendalian lebih tajam dan stabil
  • Kemasan dalaman Dark Titanium pada konsol tengah dan pemegang pintu
  • Ciri Tailgate Assist dengan bantuan spring dan damper dua sisi kini menjadi peralatan standard untuk semua varian

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here