
GWM Malaysia merekodkan satu lagi pencapaian penting dalam landskap automotif serantau apabila buat pertama kalinya mengeksport unit Completely Knocked Down (CKD) bagi model GWM WEY G9 ke Thailand.
Langkah ini menandakan peranan strategik Malaysia sebagai hab pemasangan utama dalam pelan pengembangan New Energy Vehicle (NEV) GWM di ASEAN.
Penghantaran sulung ini adalah susulan kejayaan pemasangan tempatan GWM WEY G9 di Malaysia dan menjadi fasa seterusnya dalam strategi GWM membina rantaian bekalan serta ekosistem pembuatan automotif bersepadu dan mampan di peringkat serantau.
Eksport CKD ke Thailand mencerminkan keyakinan GWM terhadap keupayaan Malaysia dalam menyokong pemasangan automotif berkualiti tinggi, pemindahan teknologi serta potensi pengembangan kapasiti eksport pada masa hadapan.
Inisiatif ini dijangka merancakkan pembangunan vendor tempatan, meningkatkan daya saing industri pemasangan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam strategi serantau GWM.

Majlis penghantaran bersejarah ini disaksikan Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi serta Ketua Pegawai Operasi, Roslan Abdullah.
Roslan berkata, eksport CKD GWM WEY G9 ke Thailand membuktikan kekuatan asas pasaran yang sedang dibina GWM di ASEAN.
“Peranan Malaysia sebagai hab pemasangan strategik membolehkan kami menyokong pasaran negara jiran dengan produk New Energy yang canggih, di samping memperkukuhkan integrasi rantaian bekalan serantau,” katanya.

Sementara itu, Cui Anqi menegaskan, pencapaian itu melangkaui aspek logistik semata-mata.
“GWM WEY G9 adalah hasil gabungan kejuruteraan bertaraf global dan kepakaran pemasangan tempatan.
“Eksport ke Thailand menandakan permulaan kepada matlamat jangka panjang kami untuk memperkukuhkan peranan Malaysia dalam masa depan mobiliti New Energy GWM,” ujarnya.
Model GWM WEY G9 yang dieksport ke Thailand dibina berasaskan platform teknologi New Energy GWM dan disokong penyelidikan serta pembangunan global jenama itu.
Antara teknologi utama diperkenalkan termasuk:
Sistem Pintar Hibrid 4WD (Hi4)
Teknologi keselamatan pintar terkini
Reka bentuk kabin premium menepati keperluan keluarga dan pengguna perniagaan

Dalam perkembangan berkaitan, program pemasangan CKD GWM di Malaysia terus berkembang menerusi peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan dan sokongan teknikal berterusan.
Usaha ini bukan sahaja menyerlahkan keupayaan Malaysia dalam segmen NEV, malah menegaskan komitmen GWM terhadap pembangunan industri automotif serantau yang mampan.
Berikutan kejayaan eksport CKD ini, GWM Malaysia kini dalam persiapan untuk pelancaran rasmi GWM WEY G9 di Malaysia tidak lama lagi.
Maklumat lanjut mengenai pelancaran tersebut dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang, sejajar dengan kemajuan pelan hala tuju kenderaan New Energy GWM di Malaysia dan ASEAN.

