
Chery Group mengeksport sebanyak 1,344,020 kenderaan ke luar negara daripada keseluruhan jualan 2,806,393 unit pada tahun lalu.
Ia merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 17.4 peratus, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar automotif China terbanyak mengeksport kenderaan penumpang selama 23 tahun berturut-turut.
Secara purata, sebuah kenderaan Chery dieksport pada setiap 23 saat sepanjang 2025 dan secara kumulatif Chery Group telah mengeksport 5.85 juta kenderaan, dengan eksport bulanan melebihi 140,000 unit buat kali pertama.
Berikut adalah pecahan angka mengikut pelbagai jenama di bawah Kumpulan Chery:

- Chery menjual sebanyak 1,700,940 kenderaan setahun. Antara model terlarisnya, Tiggo 8 berjaya mengekalkan kedudukan selama sembilan tahun berturut-turut sebagai SUV petrol saiz sederhana keluaran China yang terlaris. Arrizo 8 pula mengekalkan jualan bulanan melebihi 10,000 unit selama 16 bulan berturut-turut, dengan jualan kumulatif melebihi 450,000 unit dalam tempoh 38 bulan sejak pelancarannya.
- Exeed (jenama premium Chery) menjual sebanyak 120,369 kenderaan. Sebagai model teras dalam strategi “tenaga baharu mewah global”, siri Yaoguang C-DM dijual di lebih 19 buah negara dan berada pada kedudukan tiga teratas bagi jualan dalam segmennya di pasaran Eropah seperti Sepanyol dan Itali.
- Jenama Jetour pula menjual sebanyak 622,590 kenderaan. Jualan kumulatif Jetour X70 melebihi 1 juta unit dalam tempoh tujuh tahun, manakala Jetour Traveler mencatatkan jualan global kumulatif melebihi 400,000 unit.
- iCaur (dikenali sebagai iCar di China) menjual sebanyak 96,989 kenderaan. Model-modelnya dieksport di bawah jenama iCaur atau jenama sedia ada, Jaecoo. Pasaran awalnya termasuk Thailand, Malaysia, dan Rusia. Sebagai contoh, iCar 03 kini dijual sebagai Jaecoo 6 di pasaran luar negara.
- Jenama Luxeed yang dibangunkan bersama Huawei, menjual sebanyak 90,493 kenderaan. Selepas pelancaran model Luxeed R7 dan S7 facelift, jenama tersebut mencapai penghantaran bulanan melebihi 10,000 unit selama tiga bulan berturut-turut dari Oktober hingga Disember.





























