
Seorang pejalan kaki yang juga wanita warga emas, maut dirempuh sebuah kenderaan dipandu lelaki warga asing di Jalan Lembah Permai, Tanjung Tokong di Georgetown, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata kemalangan kira-kira jam 11.30 malam berlaku ketika SUV itu sedang bergerak dari arah Mount Erskine menghala ke Tanjung Bungah sebelum merempuh mangsa berusia 67 tahun yang melintas dari kiri ke kanan jalan.
Beliau berkata, perlanggaran berkenaan menyebabkan mangsa warga tempatan itu tercampak di atas jalan raya serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil ujian saringan terhadap pemandu SUV terbabit mendapati lelaki berusia 51 tahun itu disyaki memandu bawah pengaruh alkohol yang melebihi had dibenarkan,” katanya.
Tambah beliau, pemandu berkenaan ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





























