BMW X3 M Competition dan X4 M Competition: SUV sports berkuasa 510hp, dari RM886k

2154

BMW Malaysia telah mendedahkan sepasang SUV sports berprestasi terbaharu mereka, iaitu X3 M Competition dan X4 M Competition. Ia dibuat serentak dengan pelancaran M8 Coupe dan M8 Gran Coupe di Secret Garage @ M Town.

BMW X3 M dan X4 M sebenarnya dua SUV yang sama, cuma berbeza pada gaya badan dimana X3 berbentuk konvensional, dan X4 berbentuk coupe. BMW juga menggelarkan X3 sebagai Sports Activity Vehicle manakala X4 sebagai Sports Activity Coupe.



Harga:

BMW X3 M Competition – RM886,551.58
BMW X4 M Competition – RM904,276.60

Enjin “straight-six”

Konfigurasi enjin “straight-six” atau enam silinder sebaris sinonim dengan pengeluar Jerman ini. Dan ia menjadi nadi kepada kedua-dua SUV sports ini, iaitu unit 3.0-liter M TwinPower Turbo yang mampu menghamburkan 510hp dan 600Nm tork.

Pecutan X3 M dan X4 M ialah 4.1 saat untuk mencapai 100km/j, dan kelajuan maksima pada 250km/j.

Selain dari enjin berkuasa, prestasi ini adalah sumbangan transmisi 8-kelajuan automatik M Steptronic dan sistem pacuan semua-roda M xDrive dengan bias kuasa ke tayar belakang dalam mod Sport.

Tiga mod Drivelogic untuk transmisi – Efficient, Sport dan Sport Plus.

Untuk kawalan terbaik dalam sebarang situasi pemanduan, casis X3 dan X4 ini dilengkapi kerangka dalam ruang enjin, penyerap hentak adaptif M, Active M Differential, dan brek M Compound.

SUV dengan gaya sporti

Ciri standard adalah lampu depan LED adaptif dan lampu belakang LED. Tetapi BMW X3 M dan X4 M boleh dibezakan dari varian biasa dengan barisan kit badan M.

Ini merangkumi gril “kidney” dengan lingkaran hitam, diffuser hitam berkilat, spoiler bumbung berbeza untuk X3 dan X4, ekzos M Sport, serta rim aloi ringan M bersaiz 21-inci.

Kedua-dua model boleh dipilih dengan warna badan Alpine White, Black Sapphire, Donington Grey, Phytonic Blue, Sophisto Grey dan Toronto Red.

Keselesaan di jalanraya mahupun litar lumba

Sebagai sebuah SUV, X3 dan X4 dilengkapi tempat duduk kulit premium Merino, pengecas telefon pintar dan ruang yang luas untuk kegunaan seharian. Ruang butnya bersaiz 550 liter dan boleh ditambah menjadi 1,600 liter bila tempat duduk belakang dilipat.

 

Sistem infotainmen terdiri dari Control Display 10.25-inci yang dikawal menggunakan iDrive Controller dan menyokong Gesture Control. Sistem audio adalah unit Harman Kardon 600W dengan sembilan saluran dan 16 pembesar suara.

Sementara itu, X3 M dan X4 M menerapkan jiwa sukan permotoran dengan elemen seperti tempat duduk M, trim-trim khas, roda stereng M, butang M Drive, kemasan gentian karbon, tali pinggang keledar M, pedal M, dan panel istrumen M.

Sistem bantuan pemanduan dan keselamatan terkini

Sistem bantuan pemanduan pada kedua-dua X3 dan X4 terdiri dari Head-Up Display, Surround View, Parking Assistant Plus, Driving Assistant Plus dan Comfort Access.

ConnectedDrive Services yang ditawarkan sebagai standard bagi kedua-dua model melengkapi para pemilik dengan Concierge Services, Teleservices, Remote Services), Intelligent Emergency Call dan Apple CarPlay.

Bersempena dengan Secret Garage @ M Town yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 30 September ini, BMW turut menawarkan diskaun sehingga RM75,000 untuk model-model M lain seperti M2, M4 Coupe, M5, dan M850i xDrive Coupe.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

BMW X3 M Competition

BMW X4 M Competition

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here