Proton capai tahap pegangan pasaran tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, Saga kekal model paling laris

1029

Pencapaian Proton pada bulan Februari telah berjaya sampai ke tahap yang tidak dialami selama beberapa tahun.

Berikutan jualan 11,873 unit (pasaran tempatan dan eksport) – jualan paling tinggi bagi bulan Februari dalam lebih sepuluh tahun, syarikat automotif nasioanal itu mencapai pegangan pasaran sebanyak 27.1 peratus, tahap tertinggi semenjak September 2013.



Secara keseluruhan, Proton mengakhiri Februari di tangga kedua selepas menambah jualan hampir dua kali ganda berbanding 5,964 unit yang dijual pada bulan Januari.

Berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020 pula, jumlah jualan meningkat sebanyak 19.9 peratus manakala jumlah kumulatif dua bulan pertama 2021 masih kurang 643 unit atau 3.5 peratus berbanding dengan tahun lepas.

Apabila Proton melancarkan Proton X50 pada 27 Oktober 2020, sambutan dari rakyat Malaysia amat memberangsangkan.

Lebih daripada 30,000 tempahan diterima sebelum akhir tahun tetapi masa menunggu penghantaran telah meningkat akibat kelewatan yang dialami di barisan pengeluaran dan fokus syarikat kepada kualiti.

Selepas 3,345 unit dihantar pada bulan Februari, sebanyak 8,141 unit kini berada di tangan pembeli dan kadar bekalan semakin mendekati jumlah permintaan.

Pencapaian ini adalah jumlah terbesar bagi SUV dalam sejarah Malaysia dan sekaligus membolehkan Proton X50 diberi gelaran SUV paling laris bagi segmennya dan secara keseluruhan.

Apabila jualan sebanyak 1,475 unit Proton X70 (jumlah tertinggi bagi SUV segmen-C) pula ditambah ke jumlah kumulatif, syarikat berjaya menjual sebanyak 4,820 unit SUV pada bulan Februari, keputusan yang terbaik pernah tercapai dalam sejarah pasaran automotif negara.

Namun begitu, model yang paling laris tetap Proton Saga. Sebanyak 4,217 unit telah dijual dan model sedan segmen-A ini tetap menarik perhatian pembeli dengan kombinasi ciri praktikal, rupa bentuk menarik dan kadar nilai wang yang tinggi.

Ia juga menerima gelaran model pertama Proton dijual di Kenya apabila kenderaan yang dipasang siap di sana oleh rakan perniagaan Proton, Simba Corporation, dilancarkan pada 25 Februari.

Model Proton lain juga menunjuk prestasi yang tinggi. Gelaran sedan segmen-B terlaris berjaya disandang oleh Proton Persona setelah 1,818 unit dijual, mengalahkan saingan dari model-model yang lebih baru.

Proton Exora pula kekal di tangga teratas bagi MPV segmen-C manakala Proton Iriz di tempat ketiga bagi hatchback segmen-B.

“Atas semua usaha kerajaan untuk memastikan aktiviti ekonomi boleh berterusan semasa PKP, syarikat berjaya menghasilkan lebih kenderaan dan ini mengurangkan tunggakan pesanan kami,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

Strategi 10-tahun Proton memerlukan syarikat baik pulih beberapa operasi untuk mencapai kejayaan.

Rangkaian pengedaran juga banyak berubah sehingga syarikat mempunyai jumlah fasiliti 3S/4S yang tertinggi dan telah berjaya mengubah tumpuan kepada perniagaan borong dari perniagaan yang ditumpukan kepada pengguna.

Langkah-langkah ini memberi keputusan yang cemerlang dan Proton telah mencapai kadar penumbuhan jualan tertinggi industri automotif bagi dua tahun yang lepas.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here