Beli Mazda MX-30, pemilik boleh pilih kereta Mazda yang lain untuk guna 10 hari

1659

Mazda MX-30 merupakan sebuah crossover elektrik yang diasaskan daripada model CX-30 yang baru sahaja diperkenalkan di Amerika Syarikat.

Model tersebut didatangkan  dengan dua pilihan janakuasa iaitu elektrik atau plug-in hibrid dengan enjin rotari. Enjin rotari mengecas bateri yang akan menggerakkan motor dan juga tayar.



Dengan cas penuh, bateri 35.5kWh mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 209km manakala motor elektrik menjana kuasa 141hp dan tork 264Nm.

Pengecasan aras 3 membolehkan capaian isi bateri 80 peratus dalam masa 36 minit. Sementara, plug DC mengambil masa selama 2 jam dan 50 minit manakala outlet 102 volt standard, mengambil masa selama 13 jam dan 40 minit untuk mencapai 80 peratus.

Crossover tersebut ditawarkan dengan empat pilihan warna badan iaitu Machine Gray Metallic, Polymetal Gray Multi-Tone, Ceramic Metallic Multi-Tone dan Soul Red Crystal Multi-Tone.

Harga jualan untuk pasaran California bermula daripada AS 33,470 (RM140,984.92) tidak termasuk caj lain dan juga model Premium Plus.

Menariknya, harga MX-30 turut merangkumi program Elite Access Loaner yang mana pemilik boleh meminjam mana-mana model Mazda yang lain sehingga 10 hari.

Bahagian kabin MX-30 menampilkan sistem infotainmen baharu 8.8-inci dengan Mazda Connect serta ciri ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Manakala untuk varian MX-30 Premium Plus didatangkan dengan ciri tambahan seperti sistem audio 12-pembesar suara, stereng dengan ciri pemanas, kamera 360 darjah dan tempat duduk kemasan kulit.

Selain itu, turut tersedia ciri keselamatan i-Activsense Mazda termasuk Kawalan Adaptif Kelajuan Penuh, Pemantauan Titik Buta dengan amaran lintasan trafik, Bantuan Kekal Lorong, Amaran Pemandu dan Bantuan Lampu Tinggi. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here