174 kenderaan klasik penuh debu milik ahli perniagaan misteri dilelong

1977

London Barn Finds menganjurkan acara bidaan terbesar melibatkan kira-kira 174 buah kereta klasik bernilai hampir pound sterling 1 juta (RM5.7 juta) awal bulan ini.

Sebahagian daripada koleksi kereta tersebut ditutupi dengan debu tebal dan najis burung setelah disimpan lebih daripada 10 tahun dalam sebuah gudang seluas 45,000 kaki persegi.



Pemilik kenderaan berkenaan merupakan seorang ahli perniagaan misteri yang mana koleksi kereta klasik itu bertambah secara berperingkat selama 10 tahun.

Sayangnya kenderaan berkenaan perlu dilepaskan selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) ingin mengambil semula gudang tersebut.

Freddie Fison, 35 yang menguruskan jualan berkenaan bagi pihak ahli keluarga seorang rakan menjelaskan kereta itu merupakan koleksi peribadi ahli perniagaan lokal.

“Selama 10 tahun terakhir dia memutuskan untuk menambah koleksinya, saya rasa bermula dengan Mercedes SL, setelah melihat populariti Pagoda dan kenaikan harga, dia menganggap ia akan jadi pelaburan besar. 

“Dia memang sukakan kereta dan sejak itu koleksinya bertambah dan disimpan di dewan milik PBT. Namun pihak berkuasa ingin membangunkan semula kawasan itu dan ingin mengambil semula gudang.

“Mustahil untuk mencari kawasan baharu dengan keluasan sama di London, masa telah berubah dalam 10 tahun,” jelasnya. 

Harga bidaan dibuka pada pound sterling 25,000 (RM142,916) yang mana model paling mahal adalah kereta sport merah MG MGA (1960). 

Model lain dengan harga bidaan tinggi antaranya Mercedes 350SL (1975), BMW 635CSI, Porsche 911 (1973), Mercedes 280SL (1983) dan Mercedes 380SL (1981).

Sementara kereta paling berusia dalam senarai ialah MG (1948) diikuti dengan MG YB (1952) dan Morris Minor (1955).

Selain itu, antara model yang ditunjukkan London Barn Finds ialah Triumph Spitfire MK4 (1971), MG MGB (1973), Nissan 300ZX (1989) Volkswagen Camper (1976) dan Ponton 200.

Ada antara kereta tidak memiliki nombor plat dan dokumen. Beberapa kenderaan memperbaharui cukai jalan kali terakhir pada 2016 yang mana selebihnya tidak didaftarkan selama tiga dekad.

Bagaimanapun semua kenderaan dalam gudang itu dikatakan masih boleh bergerak dengan baik. 

 
 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here