Myvi King! Model terlaris Perodua antara Januari hingga Mei 2022

1205

Dalam tempoh lima bulan pada tahun ini, Perodua sudah mendaftarkan 106,179 kenderaan mereka, iaitu 10 peratus lebih daripada 96,281 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama  2021.

Daripada jumlah itu, Perodua Myvi adalah model paling laris dengan 31,689 unit didaftarkan, diikuti Perodua Axia sebanyak 24,024 unit dan Perodua Bezza sebanyak 23,336 unit.



Laporan sebelum ini, Perodua menjangka dapat meningkatkan bahagian pasarannya kepada 40.6 peratus tahun ini dengan mendaftarkan 247,800 kenderaan daripada sasaran jualan industri (TIV) 610,000. Ini bermakna, Perodua memerlukan 141,621 unit lagi untuk capai sasarannya pada tahun ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik Pengumuman Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini yang membenarkan pelanggan menikmati pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka ditempah sebelum 30 Jun 2022.

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman ini kerana ia memberi ruang kepada industri dan pasaran untuk memenuhi permintaan para pengguna dan pada masa yang sama memberi masa kepada kami untuk mengatasi pelbagai isu sedia ada,” katanya.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 20 Jun 2022, mereka yang membuat tempahan sebelum 30 Jun 2022 boleh menikmati inisiatif pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka didaftarkan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan pada atau sebelum 31 Mac 2023.

Pada masa sama, Zainal Abidin berkata, antara isu yang masih memberi kesan kepada industri automotif tempatan termaksuklah impak Covid-19, kekurangan komponen dan kekurangan tenaga kerja.

“Isu-isu ini masih lagi ditangani yang mana Perodua dan pembekal kami sedang mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian dan lanjutan masa untuk mendaftarkan kenderan yang ditempah memberi kami ruang yang amat diperlukan untuk mengatasi isu-isu terbabit,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here