UMW Toyota rasmi lancar Veloz, harga RM95k

13159

UMW Toyota Motor (UMW Toyota) rasmi memperkenalkan Toyota Veloz ke pasaran tempatan sekaligus bersaing dengan Perodua Alza.

Berbanding pesaingnya, UMW Toyota hanya menawarkan satu varian buat pasaran tempatan dan sudah menerima lebih 6,000 tempahan.

Penghantaran MPV tujuh kerusi berkenaan akan bermula esok dan tempoh menunggu adalah sekitar lima hingga tujuh bulan. 



ENJIN 1.5L

Veloz dikuasakan oleh enjin 1.5 liter (2NR-VE) yang menghasilkan kuasa 106PS @ 6,000rpm dan tork 138Nm @ 4,200rpm. Penghantaran kuasa ke roda depan disalurkan menerusi transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT) 7-kelajuan.

Enjin yang dilengkapi dengan teknologi VVT-i itu didatangkan dengan fungsi auto start stop yang menawarkan pemanduan lancar dan kecekapan bahan api.

Pemandu juga boleh memilih tiga mod pemanduan mengikut keadaan situasi bermula daripada ECO, Normal dan Power.

LUARAN BERGAYA

Penampilan depan Veloz diserlahkan dengan saiz gril trapezoid kemasan hitam berkilat yang kemudian diapit dengan lampu utama LED penuh bersama signal berturutan dan lampu nyala siang.

Garisan lampu belakang LED penuh yang ditarik sepanjang pintu but menyerlahkan rekaan berotot Veloz lalu disempurnakan dengan padanan rim aloi 17-inci.

Tidak ketinggalan Veloz turut didatangkan dengan lampu di bawah cermin sisi yang memudahkan pemilik mendekati kenderaan terutamanya pada waktu malam mahupun di tempat gelap.

KABIN DINAMIK & LUAS

Keselesaan ruang dalaman disokong dengan tempat duduk semi kulit premium yang mana barisan ketiga boleh dilipat rata untuk ruangan tambahan. 

Tidak ketinggalan, Toyota turut menawarkan tray beg dan kotak dek di bawah lantai but belakang agar simpanan barangan seperti kasut dan payung lebih teratur.

Skrin warna multi informasi 7-inci menawarkan maklumat kenderaan kepada pemandu dan bentangan kabin dwi tona warna dilengkapi dengan lampu ambien LED.

Tidak ketinggalan, Veloz turut didatangkan dengan rel bumbung untuk membawa muatan tambahan. Selain itu, paparan audio 9-inci sudah tersedia konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Di samping itu, Toyota turut menawarkan ciri pengecasan tanpa wayar yang disediakan di konsol tengah bersama port pengecas USB dan soket aksesori 12 volt.

Pada cermin depan juga diletakkan perakam video digital yang boleh menyimpan rakaman berkualiti tinggi secara automatik apabila berlaku perlanggaran.

TOYOTA SAFETY SENSE

MPV keluarga berkenaan didatangkan dengan ciri keselamatan Toyota Safety Sense (TSS) yang direka bagi melindungi pemandu dan penumpang serta dipasang secara standard bagi model baharu Toyota.

TSS merangkumi ciri keselamatan:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS): Memberi amaran mengenai potensi pelanggaran depan dan mengurangkan impak kemalangan.
  • Amaran Masuk Lorong (LDW): Mengeluarkan amaran apabila kenderaan memasuki lorong lain tanpa sengaja.
  • Front Departure Alert (FDA): Amaran audio dan visual kepada pemandu sekiranya kereta depan bergerak.
  • Kawalan Kruise Adaptif (ACC): Mengikuti kenderaan depan dengan jarak selamat melalui kamera stereo pada papan pemuka.
  • Kawalan Kesalahan Operasi Pedal: Membantu mengurangkan kesan kemalangan akibat pelanggaran depan.
  • Lampu tinggi adaptif: Melaraskan lampu depan secara automatik supaya tidak mengganggu kenderaan depan atau yang menghala ke kenderaan anda.

Sementara itu tawaran Safe-T memberikan ketenangan minda pemilik menerusi:

  • Pemantauan Titik Buta (BSM): Mengesan kenderaan di lokasi titik buta apabila menukar lorong atau sedang mengundur.
  • Amaran Trafik Belakang (RCTA): Membantu pemandu ketika mengundur
  • Monitor Panoramik 3D (PVM): Alihkan kenderaan anda dengan mudah di ruang yang sempit.
  • Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) & Kawalan Cengkaman (TRC): Kenderaan lebih terkawal pada permukaan licin dengan cengkaman lebih baik dan stabil ketika membelok.
  • Sensor Sonar Depan & Belakang: Amaran akan dibunyikan apabila kenderaan anda terlalu hampir dengan objek atau kenderaan lain.
  • Cermin Keselamatan Suria Berwarna: Membantu mengatasi kaca yang pecah masuk ke dalam kenderaan dan memantulkan sinaran berbahaya serta mengurangkan pembentukan haba.

HARGA

Selain biru dan perak yang hadir dengan bumbung hitam, Veloz juga didatangkan dengan warna putih, hitam dan merah metalik yang dijual pada harga RM95,000 (tanpa insurans).

Veloz didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Selain program bantuan tepi jalan 24SEVEN, pembaikan kecil di lokasi dan perkhidmatan menunda bernilai RM400 (tertakluk kepada terma dan syarat). 

Bagi meraikan sambutan Deepavali, UMW Toyota turut mengumumkan promosi akhir tahun menerusi tawaran rebat tunai dan aksesori percuma bernilai sehingga RM4,000 dan pembiayaan 100 peratus dengan bayaran bulanan serendah RM515 bagi model terpilih.

GALERI

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here