Pesawat terhempas merupakan model Beechcraft 390 (Premier 1)

1194

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat dengan enam penumpang dan dua kru terhempas dalam insiden Elmina, Shah Alam.

Pesawat sewa khas itu merupakan model Beechcraft 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV.



Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat itu dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd yang berlepas dari Lapangan Terbang Langkawi pada jam 2.08 petang menuju ke Subang. 

“Hubungan pertama pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada 2:47 petang dan pelepasan pendaratan diberikan pada 2:48 petang.

“Pada 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang memerhatikan asap yang berpunca dari lokasi nahas tetapi tiada panggilan mayday dibuat oleh pesawat itu,” katanya.

Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan untuk menyelaraskan misi mencari dan menyelamat.

Norazman berkata siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang tadi, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di Elmina.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.

“Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.

“Semasa terhempas pesawat sama dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan,” katanya.

Hussein berkata pada masa ini pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 10 mangsa yang terkorban.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, mengambil masa hampir 10 minit bagi memadam kebakaran.

Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk bedah siasat.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here