MForce Bike Holdings lancar motosikal elektrik, YADEA E8S Pro harga bermula RM5,999

358

MForce Bike Holdings Sdn Bhd secara rasminya melancarkan skuter elektrik terbaharu untuk pasaran tempatan iaitu YADEA E8S Pro. 

Jenama YADEA itu sudah diperkenalkan di Malaysia Autoshow 2023 pada Mei lalu yang hadir dengan teknologi TTFAR yang menawarkan penggunaan tenaga yang lebih efisien.

Kehadirannya juga bagi menyokong penuh usaha kerajaan yang memperkenalkan inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dalam Belanjawan 2024 melalui pemberian rebat tunai RM2,400 kepada pembeli berpendapatan tahunan kurang RM120,000 baru-baru ini.



Dijual bermula RM5,999 

YADEA E8S Pro dijual pada harga asas iaitu RM5,999 seunit tidak termasuk kos pendaftaran, insurans dan cukai jalan. 

YADEA E8S Pro dilengkapi pek bateri Graphene yang besar iaitu 72 volt dan 38Ah. Ia digerakkan dengan motor elektrik 2,000W. Ia menghasilkan tork sehingga 140 Nm dan dipacu dengan menggunakan tali sawat untuk menghantar kuasa ke roda belakang. 

YADEA E8S Pro mempunyai dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport. Ia menjadikannya jentera yang ideal sebagai mod pengangkutan dalam bandar dengan jarak tidak terlalu jauh. 

Spesifikasi dan ciri-ciri lain yang melengkapi YADEA E8S Pro membabitkan:

  • Sistem lampu LED
  • Panel meter digital
  • Brek cakera hadapan dan belakang
  • Ruang simpanan berkapasiti 32 liter
  • Ketinggian pelana 740 mm. 
  • Hadir dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Space Gray, Matte Sea Blue dan Black. 

Model E8S Pro juga telah berjaya melepasi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan memenuhi syarat untuk didaftarkan seperti motosikal enjin konvensional.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) MForce, Asri Ahmad berkata segmen kenderaan elektrik ini membuka peluang kepada MForce untuk memacu pembangunan industri EV tempatan serta menggalakkan lagi penerimaan orang ramai terhadap penggunaan mobiliti elektrik di negara ini. 

Pihaknya juga turut komited dalam merealisasikan usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara neutral karbon menjelang 2050 tercapai.

Buat masa ini MForce mempunyai sebuah pusat pameran dan jualan yang beroperasi sepenuhnya di Jalan Kelawai, Georgetown, Pulau Pinang dan kini sedang merancang untuk memperluas lagi lokasi rangkaian pusat pameran dan jualannya.

Skuter elektrik ini akan mula dijual dalam tempoh terdekat melalui pengedar sah MForce yang terpilih di seluruh negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here