
Haojue China pengeluar motosikal yang bekerjasama dengan Suzuki rasmi memperkenalkan skuter Haojue UFR150 pada harga CNY 17,880 (RM10,894).
Sekali imbas, penampilan Haojue UFR 150 di pasaran China itu memiliki aura Suzuki Burgman yang kuat.
Fascia depan memiliki perincian yang mirip dengan Suzuki Burgman 400 menerusi tiga lampu. Lampu depan LED direka semula dengan fungsi lampu tinggi dipisahkan manakala tawaran lampu nyala siang dan signal memberikan efek visual.
Uniknya, terdapat lampu tambahan di bahagian tengah yang biasanya mirip dengan rekaan motor sport Suzuki.
Ia juga dilengkapi dengan pengadang angin yang tinggi. Secara keseluruhan rekaan skuter ini didominasi oleh lekukan yang menyerlahkan sentuhan mewah dan elegan.
Dari segi kuasa, UFR150 dilengkapi enjin 149cc SOHC empat lejang penyejukan air berkuasa 14.4hp dan tork maksimum 14.2Nm.
Ciri peralatan lain ditawarkan termasuklah brek cakera tunggal, Sistem Brek Anti Kunci (ABS) Bosch dua saluran, Sistem Kawalan Traksi (TCS), tabung gas suspensi belakang dan skrin TFT Nissin.