Suzuki Malaysia perkenal Avenis dan Burgman Street EX, harga mula RM6,980

704

Suzuki Malaysia memperkenalkan dua skuter baharu ke pasaran tempatan menerusi Avenis dan Burgman Street EX.

Kehadiran dua produk berkenaan mengukuhkan jenama Suzuki dalam segmen skuter kapasiti kecil di Malaysia.

Harga skuter tersebut adalah :



  • Suzuki Avenis : RM 6,980
  • Suzuki Avenis (Edisi GP) : RM 7,200
  • ⁠Suzuki Burgman Street EX : RM 7,500

Avenis dan Burgman Street menggunakan enjin SOHC SEP 125cc 4-Lejang penyejukan udara yang menghasilkan kuasa 8.7PS @ 6,750rpm dan tork 10Nm @ 5,500rpm bersama transmisi CVT. 

SUZUKI AVENIS

Avenis merupakan skuter ideal buat golongan muda untuk tunggangan harian. Dimensi skuter itu adalah panjang 1,895mm, lebar (710mm), tinggi (1,175mm) dan jarak roda (1,265mm).

Lampu utama terbahagi kepada dua yang mana bahagian atas menempatkan tiga unit LED untuk pencahayaan rendah dan bahagian bawah dilengkapi dengan dua LED bagi lampu tinggi.

Lampu belakang turut menggunakan ciri LED yang dipadankan dengan lampu signal di bahagian bawahnya. 

Suzuki menempatkan visor meter gelap di atas kowl bar hendal sekaligus meningkatkan penggayaan tajam. 

Pelana Avenis menampilkan dua rona warna bersama bar pemegang dan pemijak kaki aluminium untuk keselesaan penumpang. 

Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah Sistem Penghidup Mudah Suzuki, dua cangkuk utiliti untuk meletakkan barang, panel instrumen digital penuh, outlet USB 2A, ruang di bawah pelana bersaiz 21.5 liter, sistem kunci tongkat sisi dan muffler berwarna hitam.

Motosikal yang patuh emisi Euro5 itu didatangkan dengan suspensi teleskopik (depan) dan swingarm (belakang). Keupayaan menghentikan motosikal diserahkan kepada brek cakera bersama tayar bersaiz 90/90-12 (depan) dan brek dram dengan tayar 90/100-10 (belakang).  

Dengan kapasiti tangki bahan api 5.2 Liter, Avenis dapat mengurangkan kekerapan pengisian semula untuk kegunaan seharian.

SUZUKI BURGMAN STREET EX

Burgman menampilkan ciri tambahan ‘Suzuki Eco Performance Alpha (SEP-α)’ yang dilengkapi dengan sistem ‘Engine Auto Stop-Start (EASS)’ untuk melengahkan enjin secara automatik apabila berhenti dan ‘Suzuki Silent Starter System’ untuk permulaan enjin yang senyap.

Burgman sedikit pendek berbanding Avenis dengan panjang 1,875mm, lebar (700mm), tinggi (1,140mm) dan jarak roda (1,290mm).

Saiz tangki 5.5 liter memberi tambahan minyak 0.3 liter berbanding Avenis dan skuter itu menggunakan speedometer digital. 

Skuter kompak eksekutif dan premium itu menggabungkan rekabentuk elegan, keselesaan dan praktikaliti serta tempat duduk yang lebih luas.

Ruang lantai kaki depan yang lebih panjang dan lapang memberikan fleksibiliti ergonomik untuk meluruskan kaki penunggang. 

Sama seperti Avenis, Burgman turut menawarkan ruang simpanan di bawah pelana seluas 21.5 liter, dua gantungan topi keledar, dan dua gantungan utiliti sebagai aksesori tambahan bersama pot pengecasan USB.

Ia didatangkan dengan suspensi teleskopik (depan) dan swingarm di belakang. Keupayaan menghentikan jentera diserahkan kepada brek cakera dan tayar bersaiz 90/90-12  (depan) dan brek dram bersama tayar bersaiz dan 100/80-12 (belakang).  

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here