
Pengerusi dan CEO BYD Wang Chuanfu dikesan melawat kilang pengeluaran Xiaomi berdasarkan hantaran terbaharu di laman media sosial China.
Lawatan orang kuat BYD itu diiringi sendiri oleh pengasas kumpulan Xiaomi, Lei Jun.
Lawatan tersebut, biarpun tidak diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua belah pihak, sempat dirakam dalam klip video pendek yang kemudiannya tersebar meluas di alam maya.
Seorang lagi individu dikesan mengiringi lawatan tersebut ialah Hu Zhengnan, rakan kongsi di Shunwei Capital dan merupakan individu yang terkenal di industri automotif China.
Hu sebelum ini memegang jawatan presiden Institut Penyelidikan Automotif Geely serta ketua jurutera projek Geely Boyue.
Lawatan terbaharu ini mencetuskan spekulasi tentang kerjasama strategik yang terbentuk antara Xiaomi dan BYD.
BYD bukanlah satu entiti yang asing, kerana syarikat itu merupakan pembekal utama kepada perniagaan peranti pintar Xiaomi.
Malah, model Xiaomi SU7 juga menggunakan pek bateri Blade BYD.