Harga Isuzu D-Max EV bermula daripada GBP60 ribu (RM342 ribu), jarak sehingga 263 km

10

Selepas dilancarkan pada April, Isuzu UK mengumumkan harga rasmi untuk D-Max EV yang merupakan pikap komersial elektrik pertama seumpamanya dari pengeluar Jepun yang ditawarkan di pasaran Eropah.

D-Max EV dibangunkan dari platform D-Max sedia ada dan telah direka bentuk semula dengan sistem pacuan elektrik terkini.

D-Max EV pikap elektrik pertama di Eropah yang menawarkan kapasiti muatan lebih dari 1,000 kg, daya tunda maksimum 3.5 tan, dan dilengkapi sistem pacuan 4×4 sepenuh masa.

Harga D-Max EV di UK

Isuzu UK menetapkan harga yang berdaya saing untuk D-Max EV, tidak termasuk Cukai Tambah Nilai (VAT) dan caj tambahan lain.

  • D-Max eDL40 (Extended Cab): £59,995 (RM 342,217.51)

  • D-Max eDL40 (Double Cab): £60,995 (RM 347,922.25)

  • D-Max eV-Cross (Double Cab): £62,495 (RM 356,474.75)

Rangkaian Kuasa

D-Max EV digerakkan oleh dua motor yang menghasilkan jumlah kuasa 140 kW (43 kW di hadapan dan 97 kW di belakang), serta tork sebanyak 325 Nm (108 Nm di hadapan dan 217 Nm di belakang).

Ini membolehkan D-Max EV mencapai kelajuan maksimum melebihi 129 km/j dan pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 10.1 saat.

Pikap ini dilengkapi Mod Eco untuk meningkatkan jarak pemanduan, dan menawarkan 4 tahap penjanaan semula (regeneration) yang boleh dipilih.

Pemanduan dan Keupayaan

Untuk meningkatkan keselesaan pemanduan, D-Max EV menggunakan sistem suspensi belakang De-Dion baharu menggantikan pegas daun tradisional yang juga menyumbang kepada pengendalian lebih baik.

Dengan pelbagai penambahbaikan lain pemandu dan penumpang dapat menikmati pengurangan sehingga 10% dalam tahap bunyi dan getaran dalam kabin ketika pecutan penuh.

Dari segi keupayaan dan jawapan kepada yang tertanya, D-Max EV memiliki keupayaan meredah air sehingga 600 mm dengan jarak kelegaan bumi 210 mm. 

Dengan sudut pelepasan depan (approach angle) 30.5° dan pelepasan belakang (departure angle) 24.2°, D-Max EV dipastikan sedia menghadapi pelbagai jenis muka bumi.

Varian dan Jenis Badan

D-Max EV ditawarkan dalam dua tahap varian premium, iaitu D-Max eDL40 dan D-Max eV-Cross, kedua-duanya dalam jenis badan Extended Cab dan Double Cab.

Varian ini setara D-Max DL40 dan V-Cross berkuasa diesel sedia ada.

D-Max eDL40

  • Penggayaan krom
  • Sistem maklumat hibur 8 inci
  • Paparan maklumat pemandu 7 inci
  • Tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas
  • Balutan kulit*
  • Kawalan iklim dwi-zon
  • Penderia tempat letak kereta depan dan belakang
  • Mod Rough Terrain
  • Sistem bunyi premium 6 pembesar suara

D-Max eV-Cross

  • Penggayaan kelabu gelap
  • Sistem maklumat hibur 9 inci
  • Paparan maklumat pemandu 7 inci
  • Tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas
  • Balutan kulit*
  • Kawalan iklim dwi-zon
  • Penderia tempat letak kereta depan dan belakang
  • Cermin pandang belakang malap automatik
  • Mod Rough Terrain
  • Sistem bunyi premium sehingga 8 pembesar suara (model Double Cab, 6 pembesar suara dalam Extended Cab)

*Balutan kulit merujuk kepada gabungan kulit dan bahan lain.

Jualan awal untuk D-Max EV di UK akan bermula beberapa bulan lagi dan model pertama dijadualkan tiba di UK pada Februari 2026.

Penghantaran kepada pelanggan bermula pada Mac 2026. 

Spesifikasi Utama D-Max EV

  • Bateri: Litium-ion 66.9 kWj
  • Jarak Pemanduan (WLTP): 263 km
  • Pengecasan AC: Maks 11 kW, 10 jam (0-100%)
  • Pengecasan DC: Maks 50 kW, 1 jam (20-80%)
  • Waranti Bateri: 8 tahun / 160,934 km
  • Dimensi (P x L x T): 5,280 mm x 1,870 mm x 1,790 mm
  • Jarak Roda: 3,125 mm
  • Berat Kerb: 2,350 kg
  • Tayar: 265/60R18

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here