MHO bidas tindakan JPJ sita lori muatan berlebihan

285
gambar hiasan

Tindakan pihak berkuasa menyita jentera berat pengusaha logistik yang didakwa membawa muatan berlebihan disifatkan sebagai keterlaluan dan boleh melumpuhkan ekonomi mikro dalam sektor pengangkutan.

Ketua Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata pendekatan keras itu hanya memburukkan tekanan sedia ada terhadap pengusaha kecil dan pemandu persendirian yang bergelut meneruskan kelangsungan hidup.

Menurutnya, pemain industri dan pengusaha syarikat berkenaan tidak mempertikaikan bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyita, namun meminta mempertimbangkan semula tindakan yang terlalu keras itu.

sumber: Bernama

“Keselamatan jalan raya penting tetapi jangan sampai pendekatan keras ini menjadi punca keruntuhan ekonomi mikro dalam sektor pengangkutan.

“Tindakan sita hanya menyentuh simptom kerana kesalahan muatan berlebihan ibarat rawatan luaran kepada luka dalaman, ia tidak menyentuh isu pokok yang menekan industri, malah memburukkan lagi keadaan.

“Setiap lori yang disita bukan sahaja menjejaskan operasi harian syarikat, malah menyebabkan pemandu hilang mata pencarian serta-merta,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, segala ansuran bank dan komitmen bulanan tetap perlu dilangsaikan walaupun lori disita, malah syarikat kecil atau pemandu persendirian berisiko gulung tikar kerana bergantung kepada satu atau dua jentera sahaja.

Tambahnya, apabila berlaku kes-kes lebih muatan melibatkan kenderaan berat, semua pihak hanya menyalahkan pemandu tanpa memikirkan punca di sebalik masalah itu berlaku.

“Antara punca utama perkara ini berlaku berikutan caj pengangkutan yang rendah dalam pasaran yang ditetapkan oleh pengilang atau pemilik lombong tanpa mengambil kira kos operasi pengusaha jentera berat.

“Ketiadaan struktur tambang yang adil menyebabkan pemandu dan pengusaha lori tiada pilihan selain mengambil risiko demi kelangsungan hidup.

“Dalam banyak kes, pemilik barangan mendesak pengangkutan muatan melebihi had tetapi tidak mahu bertanggungjawab terhadap implikasi undang-undang,” katanya.

Daniel berkata, pemandu lori dan pengusaha syarikat logistik adalah tulang belakang ekonomi negara yang memerlukan bantuan, bukannya penjenayah yang perlu dibanteras. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here