Kemalangan dengan lori muatan batu, lapan anggota FRU maut

61

Lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) disahkan maut dalam nahas melibatkan kenderaan pasukan itu dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada pagi Selasa.

Difahamkan, mereka yang maut ialah Sarjan S Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.

Kesemuanya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Manakala 10 lagi mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala pemandu lori muatan batu turut disahkan maut di lokasi kejadian. 

Maklumat awal memaklumkan bahawa semua mangsa yang terkorban merupakan anggota FRU, dengan sebahagian daripadanya dilaporkan cedera parah akibat tersepit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan menerima panggilan kecemasan kemalangan pada jam 8.54 pagi, melibatkan sebuah kenderaan FRU yang membawa 15 penumpang termasuk pemandu.

“Setakat ini, mangsa yang disahkan maut adalah seramai lapan orang. Semua mangsa yang berjaya dikeluarkan telah dihantar ke hospital.

“Kerja-kerja menyelamat masih sedang dijalankan di lokasi kejadian,” katanya.

Difahamkan, kenderaan FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here