Isuzu D-Max EV – 190 hp, 240 Nm, sistem 4WD, jarak gerak cecah 360 km

13

Sementara kita menunggu kemunculan trak pikap elektrik Toyota, Isuzu terlebih dahulu memperlihatkan trak pikap elektrik D-Max EV di Commercial Vehicle Show 2025 di UK.

Menurut laporan, produksi trak pikap elektrik ini sudah pun bermula di Thailand, dan bakal dilancarkan di peringkat global dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

D-Max EV dijana dengan dua motor elektrik – satu untuk setiap gandar.

Motor elektrik hadapan mampu menghasilkan 58 hp dan 108 Nm, sementara motor elektrik belakang pula berkuasa 132 hp dan 217 Nm.

Secara keseluruhan, kuasa D-Max EV mencecah 190 hp dan 325 Nm, membolehkan pecutan 0-97 km/j dalam 10.1 saat, namun kelajuan maksimum dihadkan kepada 129 km/j sahaja.

Untuk sekali cas penuh, D-Max EV boleh bergerak sejauh 263 km, atau sehingga 360 km untuk pemanduan dalam bandar.

Berbanding D-Max diesel yang mampu menampung beban seberat 1,200 kg, D-Max EV hanya boleh membawa muatan seberat 1,010 kg, dengan keupayaan menunda beban seberat 3,500 kg.

Trak pikap ini turut menyokong pengecasan AC 11 kW serta pengecasan pantas DC sehingga 50 kW untuk tempoh mengecas sejam (20-80 peratus).

Ia juga menawarkan mod pemanduan Eco serta sistem brek regeneratif pelbagai tahap.

Walaupun berkuasa elektrik, trak pikap D-Max ini masih menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, keupayaan meredah air sedalam 600 mm, sudut pendekatan 30.5 darjah dan sudut pelepasan 24.2 darjah.

Aspek pengendalian trak ini ditambah baik dengan suspensi belakang De-Dion bagi menggantikan sistem spring dedaun konvensional.

Dengan trenkuasa elektrik, D-Max EV menawarkan pengurangan gegaran dan bunyi bising dalam kabin sehingga 10 peratus.

Terdapat mod Rough Terrain Mode disediakan untuk pemanduan off-road yang lebih ekstrem.

Buat masa ini, D-Max EV versi pemanduan sebelah kiri (LHD) sedang diproduksikan manakala versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dirancang menjelang akhir tahun ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here