KD Raja Muda Nala (LCS 2) jalani penurunan teknikal di Lumut

15

Program perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) kedua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat perkembangan signifikan pada 8 Mei lalu menerusi pelancaran ke dalam air buat pertama kali di Limbungan TLDM Lumut, Perak.

Untuk makluman LCS 2 secara rasmi dikenali sebagai KD Raja Muda Nala, dengan nombor badan 2502.

Ia adalah kapal kedua dalam program frigat Kelas Maharaja Lela TLDM dan berikut peringkat proses pembinaan kapal tempur berkenaan sehingga Mei (2025) :

  • Pelancaran: LCS 2 selamat dilancarkan ke dalam air pada 8 Mei lalu di Limbungan TLDM Lumut. Pelancaran ini melibatkan proses penurunan kapal dari darat ke dalam air setelah kerja pembinaan struktur utama selesai.  
  • Pra-Pelancaran: Sebelum dilancarkan, kapal ini telah melalui beberapa proses penting seperti pemindahan ke kawasan shiplift pada 7 Mei, pemasangan tiang (mast) dan radome pada 5 Mei, serta pemasangan radar pengawasan utama (MSR) pada 3 Mei. 
  • Fasa Seterusnya: LCS 2 kini ditambat di jeti terapung bersebelahan kapal LCS 1 (KD Maharaja Lela), untuk meneruskan kerja-kerja pemasangan peralatan. Fasa ini melibatkan pemasangan sistem-sistem tempur, elektronik, persenjataan, dan kelengkapan dalaman kapal.

Pada Januari lalu, LCS 2 selesai menjalani proses blasting iaitu pembersihan permukaan kapal menggunakan teknik letupan dan pengecatan tahap pertama.

Projek LCS menggunakan reka bentuk Gowind 2500 korvet hasil kerjasama dengan Naval Group Perancis.

Difahamkan kapal tempur berkenaan bakal dilengkapi dengan dengan radar pengesan SMART-S Mk2, sistem tempur SETIS serta sistem sonar CAPTAS-2 dan Kingklip.

Dipercayai ia turut dipasang dengan alatan peperangan elektronik Thales dan sistem decoi Barricade serta 16 sel Sistem Pelancar Menegak (VLS) Sylver yang dikhaskan untuk peluru berpandu permukaan-ke-udara (SAM) VL MICA.

Selain itu, lapan peluru berpandu anti-kapal NSM, yang akan dipasang dan diuji sebagai sebahagian daripada proses pemasangan peralatan.

Proses penyepaduan ini mengikut kerangka kontrak yang ditakrifkan dalam Surat Tawaran 2015 yang ditandatangani di LIMA, memastikan keserasian antara sistem NSM dan infrastruktur perisian kapal.

Program LCS ini adalah projek perolehan kapal terbesar bagi TLDM bagi menggantikan beberapa kapal lama serta meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara.

Pembinaan LCS ini merupakan sebahagian daripada usaha modenisasi TLDM di bawah pelan “15-to-5”. Projek ini sebelum ini menghadapi pelbagai isu seperti kelewatan dan peningkatan kos.

Namun, kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan pembinaan lima buah kapal dengan jadual yang disemak semula.

LCS 1 (KD Maharaja Lela) dijangka diserahkan kepada TLDM sekitar Ogos 2026, diikuti oleh LCS 2 dan kapal-kapal seterusnya dalam selang waktu tertentu.

ARTIKEL LAIN

China lancar kapal perang termaju pertama buatan lokal

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here