ICAO : Rusia perlu bayar ganti rugi pada keluarga mangsa MH17

90

Majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab ke atas insiden menembak jatuh sebuah pesawat milik Malaysia di ruang udara Ukrain.

Dalam kejadian itu, kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda dan 38 warga Australia maut, kata kerajaan Belanda dan Australia dalam kenyataan berasingan.

Kedua-dua kerajaan berkata Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan mempertimbangkan bentuk ganti rugi atau pampasan yang sesuai bagi keluarga mangsa pada minggu depan. 

Penerbangan Malaysian Airlines MH17 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 ditembak jatuh di timur Ukrain ketika pertempuran sengit berlaku antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukrain.

Pada November 2022, hakim Belanda menjatuhkan hukuman terhadap dua lelaki Rusia dan seorang lelaki Ukrain atas tuduhan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu.

Moscow menyifatkan keputusan itu sebagai “skandal” dan berkata ia tidak akan menyerahkan warganya.

Bagaimanapun, ICAO yang berpusat di Montreal tidak mengeluarkan sebarang maklum balas. Kes ini telah dimulakan pada tahun 2022 oleh Australia dan Belanda.

“Keputusan ini adalah langkah penting ke arah menegakkan kebenaran dan mencapai keadilan serta akauntabiliti bagi semua mangsa Penerbangan MH17, serta keluarga dan orang tersayang mereka. 

“Keputusan ini juga menghantar mesej yang jelas kepada komuniti antarabangsa dan negara-negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa hukuman,” kata Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Belanda dan Australia ingin Majlis ICAO mengarahkan Rusia untuk memulakan rundingan mengenai ganti rugi. 

Menteri Luar Australia Penny Wong berkata kerajaannya mengalu-alukan keputusan itu dan menggesa ICAO bertindak pantas untuk menetapkan langkah pemulihan. 

“Kami menyeru Rusia untuk akhirnya mengakui tanggungjawabnya atas tindakan keganasan yang dahsyat ini dan membayar ganti rugi seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

ICAO tidak mempunyai kuasa kawal selia atau penguatkuasaan, tetapi ia mempunyai pengaruh moral dan menetapkan piawaian penerbangan global yang diterima pakai secara meluas oleh 193 negara anggotanya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here