Masalah teknikal : Malaysia Airlines sahkan MH21 berpatah balik ke Paris

70

Malaysia Airlines mengesahkan pesawat Airbus A350 penerbangan MH21 dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris (CDG) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), semalam mengalami masalah teknikal sebelum berpatah balik dan mendarat semula di CDG dengan selamat.

Malaysia Airlines dalam kenyataan berkata, tindakan berpatah balik selepas berlepas itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga susulan pengesanan ketidaknormalan pada petunjuk enjin.

Katanya, penerbangan gantian MH21D dijadualkan berlepas dari CDG pada jam 5 petang waktu tempatan hari ini.

“Selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, kru penerbangan memohon keutamaan pengendalian dan mematuhi arahan Kawalan Trafik Udara.

“Ia termasuk penggunaan kod transponder kecemasan, bagi memudahkan pendaratan semula yang selamat di CDG untuk pemeriksaan teknikal.

“Pesawat itu kemudiannya mendarat dengan selamat pada jam 3.35 petang, waktu tempatan di Paris,” katanya.

Terdahulu, laporan menyebut juruterbang pesawat Airbus A350 Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan sejurus selepas berlepas dari CDG, Paris, semalam.

Penerbangan MH21 berlepas dari CDG pada jam 11.55 pagi waktu tempatan Paris, kira-kira 45 minit lewat daripada jadual asal berikutan keadaan salji di lapangan terbang berkenaan.

Pada masa sama, menurut Malaysia Airlines, penumpang yang terjejas ditempatkan semula ke syarikat penerbangan alternatif sekiranya ada, manakala sebahagian penumpang lain disediakan penginapan di hotel berhampiran lapangan terbang.

“Malaysia Airlines amat kesal atas segala kesulitan dan gangguan terhadap perancangan perjalanan penumpang. Keselamatan kekal sebagai keutamaan utama Malaysia Airlines,” kata kenyataan itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here