
Sebuah mahkamah di Beijing pada Isnin mengarahkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) membayar pampasan kepada waris lapan penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang lebih sedekad lalu.
Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang dalam kenyataan, berkata sebanyak 47 lagi saman sudah ditarik balik selepas keluarga terbabit mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan MAS dan anak syarikat antarabangsa syarikat itu, Malaysia Airlines International.
Menurut mahkamah, pampasan yang diputuskan pada Jumaat lalu merangkumi kos pengebumian, tekanan emosi dan kerugian lain, dengan setiap keluarga bakal menerima lebih CNY 2.9 juta (RM1.69 juta).
Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang itu hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Walaupun operasi pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan dilancarkan, pesawat berkenaan masih belum ditemui.
Dua pertiga daripada penumpang adalah warganegara China, manakala selebihnya terdiri daripada rakyat Malaysia, Indonesia, Australia, India, Amerika Syarikat, Belanda dan Perancis.
Daripada 78 kes asal yang difailkan keluarga mangsa selepas insiden berkenaan, mahkamah di Beijing memaklumkan bahawa 23 kes masih belum diputuskan.
Mahkamah memaklumkan, berkemungkinan kes yang belum diputuskan disebabkan keluarga penumpang belum memohon pengisytiharan kematian atau belum melengkapkan proses pengisytiharan berkenaan.
Lapan penumpang yang keluarganya diberikan pampasan oleh mahkamah pula sudah mengisytiharkan mereka meninggal dunia secara sah.
Pengumuman mahkamah itu dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa Malaysia mengumumkan pencarian pesawat akan disambung semula pada akhir Disember, satu keputusan yang dialu-alukan kementerian luar China dan waris mangsa.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi pencarian bagi mengesan serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 2014 akan disambung semula pada 30 Disember ini.
Syarikat pencarian, Ocean Infinity sudah mengesahkan operasi pencarian di dasar laut secara berperingkat selama 55 hari dimulakan semula.




























