Lima jam naikkan Toyota Fortuner jatuh gaung

9

Operasi menaikkan Toyota Fortuner yang terjunam ke dalam gaung di KM52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring berhampiran Bukit Kawah di Hulu Terengganu Jumaat lalu merupakan pengalaman paling mencabar buat syarikat penunda, Mim Autoparts.

Pengusahanya, Mohd Izani Mohd Rahim, 46 berkata, dia dan enam pekerjanya mengambil masa hampir lima jam untuk menyelesaikan tugasan tersebut yang berada pada kedalaman 61 meter dari jalan raya.

“Bukan mudah untuk mengeluarkan SUV tersebut apatah lagi dalam keadaan hujan lebat. Struktur tanah di lokasi bukan sahaja curam, berbatu dan mudah runtuh malah menjadi lembut disebabkan hujan.

“Ini kerja-kerja penundaan paling sukar sejak syarikat saya beroperasi kira-kira 16 tahun lalu,” katanya kepada Kosmo. 

Jelasnya, kos menaikkan SUV yang menggunakan dua kren penunda khas tersebut adalah RM4,000 yang ditanggung keluarga mangsa.

“Struktur tanah lembut akibat hujan dan batu besar menyukarkan kerja-kerja untuk menurunkan pekerja dan memastikan kedudukan kabel kekal pegun.

“Berat kenderaan itu yang bercampur tanah dan lumpur dianggarkan kira-kira dua tan. Kerja-kerja penundaan yang bermula pukul 2 petang siap sepenuhnya pukul 6.30 petang kelmarin (Sabtu lalu),” katanya menambah SUV itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Toyota Fortuner yang dinaiki pasangan bakal pengantin terjunam ke dalam gaung pada jam 5.30 petang, Jumaat lalu.

Insiden itu mengorbankan Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Lebir, Hassan Shazali, 52, dan Suzaimah Che Azis, 34, pengusaha kantin sekolah sama.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here