
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, mengumumkan negaranya akan menyertai Itali bagi menghantar sebuah kapal perang tentera laut untuk melindungi Flotilla antarabangsa yang membawa bantuan ke Gaza.
Pengumuman tersebut dibuat selepas Flotilla yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla, diserang dron di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Sanchez, yang menghadiri Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York menyatakan bahawa warga dari 45 negara berada di kapal-kapal tersebut untuk menghantar makanan kepada penduduk Gaza dan menyatakan solidariti atas penderitaan mereka.

“Pemerintah Sepanyol berkeras agar undang-undang antarabangsa dihormati dan hak warga negara kami untuk berlayar di Mediteranian dalam keadaan selamat harus dihormati.
“Esok (Khamis) kami akan menghantar kapal angkatan laut dari Cartagena dengan semua sumber yang diperlukan jika diperlukan untuk membantu dan melakukan operasi penyelamatan,” katanya.
Global Sumud Flotilla menggunakan sekitar 50 kapal awam untuk mencuba menembus sekatan laut Israel di Gaza, dengan ramai peguam dan aktivis di dalamnya, termasuk aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg.
Kapal-kapal tersebut diserang 12 dron di perairan antarabangsa 56km di luar pantai pulau Gavdos, Yunani, kata jurucakap March to Gaza Greece, Marikaiti Stasinou.
Greta mengatakan kepada Reuters pada Isnin bahawa dron terbang di atas mereka setiap malam.
“Misi ini adalah tentang Gaza, bukan tentang kami. Dan tidak ada risiko yang boleh kami ambil bahkan menyamai risiko yang dihadapi warga Palestin setiap hari,” kata Greta.
Israel berulang kali mengecam Flotilla kerana sokongan tersirat terhadap Hamas, tetapi tidak memberikan sebarang komen berkaitan penglibatan mereka terhadap serangan dron tersebut.
Israel melancarkan perang di Gaza sebagai respons terhadap serangan pada 7 Oktober 2023, oleh Hamas yang menewaskan sekitar 1,200 orang dan menyebabkan 251 orang ditahan sebagai tebusan, menurut data Israel.
Sejak saat itu, konflik tersebut telah menewaskan lebih dari 65,000 warga Palestin, menurut pihak Kesihatan Gaza, dan telah menyebabkan kelaparan, menghancurkan sebahagian besar bangunan, dan membuatkan penduduk berpindah berulang kali serta kehilangan tempat tinggal.
ARTIKEL LAIN
KD Raja Muda Nala (LCS 2) jalani penurunan teknikal di Lumut