
Seorang pemuda Indonesia nekad berenang ke Singapura dari Batam bagi mencari pekerjaan susulan sukar mencari rezeki di negaranya sendiri.
Jamaludin Taipabu, 49 mengambil keputusan memasuki Singapura secara haram dengan menaiki bot laju dari Batam sebelum terjun ke laut dan berenang ke Singapura pada September 2024.
Bagaimanapun, selepas 11 bulan berada di Singapura Jamaludin ditahan Ogos lalu dan dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu dan tiga kali sebatan pada 16 September.
Warga Indonesia itu mengaku salah mengikut pertuduhan di bawah Akta Imigresen kerana memasuki Singapura tanpa dokumen sah.
Jamaludin menyatakan tindakan tersebut demi mencari wang kerana pendapatan yang diperoleh di Indonesia tidak mencukupi untuk menyara keluarganya.
Menurut dokumen mahkamah, dia mendapatkan bantuan rakan yang dikenali sebagai Azwar dengan upah IDR 5 juta (RM1,350).
Jelasnya, sebaik tiba di perairan Singapura menggunakan bot laju, Azwar memintanya terjun ke laut lalu berenang ke Singapura menggunakan pelampung buatan sendiri.
Jamaludin berenang selama sejam untuk tiba di pantai Singapura kemudian menyeludup masuk tanpa dikesan.
BEKERJA SAMBILAN, JUAL ROKOK HARAM
Di Singapura, Jamaludin melakukan kerja sambilan dan menjual rokok secara haram untuk menjana pendapatan.
Dia ditangkap pada 12 Ogos lalu di kawasan Sungei Kadut, sekitar daerah Woodlands apabila gagal mengemukakan dokumen sah kepada pegawai Penguatkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Bercakap melalui jurubahasa mahkamah, Jamaludin menyesali perbuatannya dan merayu agar dikenakan hukuman ringan.
Menerusi kenyataan ICA, pihaknya mengambil pendirian tegas terhadap individu yang memasuki Singapura secara haram.
“Di bawah peruntukan Akta Imigresen, mana-mana individu yang memasuki Singapura tanpa pas yang sah dianggap melakukan kesalahan,” menurut kenyataan.
Sabit kesalahan, boleh berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan manakala pesalah lelaki boleh dikenakan sekurang-kurangnya tiga kali sebatan dan pesalah wanita boleh dikenakan denda sehingga SGD 6,000 (RM19,626.)
ARTIKEL LAIN
[Video] Kena cekup cubaan kedua rentas daerah guna jalan laut, kali ini ‘dia’ guna styrofoam pula