Enggan pasang VEP, kenderaan Singapura bakal disita

410

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata kenderaan asing yang enggan memberi kerjasama pemasangan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) akan disita. 

Ia susulan insiden seorang pemandu warga Singapura yang masih berdegil dan enggan mengaktifkan tag RFID VEP setelah disaman dalam satu operasi khas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bukit Chagar baru-baru ini.

Namun, selepas diberi amaran pemandu berkenaan terus membayar saman di kaunter bergerak di lokasi.

“Sepanjang hampir 1,500 saman yang kita keluarkan hanya seorang sahaja yang enggan memberikan kerjasama dan apabila kita beritahu dia bahawa jika enggan bekerjasama, kita akan sita, dia terus bayar saman.

“Hanya dia seorang sahaja, tetapi kebanyakannya agak profesional apabila mereka akur dengan memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP ini.

“Itu sebab kita letakkan kaunter bergerak di sini supaya mereka boleh bayar terus di tempat kejadian atau melalui aplikasi MyEG dan kita lihat ramai yang keluar dari Johor Bahru sudah pun mempunyai tag yang lengkap,” katanya.

Pada operasi berkenaan, sebanyak 1,489 kenderaan Singapura disaman yang tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP.

Kesemua saman itu dikeluarkan bermula 1 Julai lalu sehingga Sabtu, semasa JPJ melaksanakan Operasi Penguatkuasaan VEP ke atas kenderaan dari republik itu di sempadan darat Malaysia–Singapura.

Dalam pada itu, Muhammad Kifli berkata, sepanjang tempoh operasi RM445,800 saman berjaya dikutip, manakala sebanyak 14,379 kenderaan Singapura telah diperiksa di luar kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Sementara itu, Muhammad Kifli berkata, hampir 90 peratus kenderaan persendirian bernombor pendaftaran Singapura telah pun memiliki VEP yang telah dipasang dan diaktifkan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here