
Kegagalan fungsi stereng lori membawa muatan pasir dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkannya dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 dari Ipoh di Sungai Lampam, Simpang Tangki Air di Langkap di Teluk Intan, pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Hilir Perak telah menerima maklumat daripada MERS999 mengenai kemalangan maut itu kira-kira jam 8.51 pagi.
“Kereta peronda (MPV) PK 251 telah diarahkan ke lokasi kejadian. Hasil pemeriksaan mendapati seramai lapan orang pegawai rendah polis (PRP) FRU Unit 5 termasuk pemandu lori telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala seramai enam orang PRP FRU Unit 5 mengalami cedera parah dan empat lagi mengalami cedera ringan. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan,” katanya dalam satu kenyataan.
Noor Hisam berkata, lori FRU Unit 5 tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
“Ketika sampai di tempat kejadian, trak FRU Unit 5 telah dirempuh dari hadapan oleh lori yang membawa muatan pasir yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.
“PDRM perak menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.