
Bekas bintang bola keranjang NBA, Shaquille O’Neal mempunyai satu kelebihan dan kelebihan itu mendatangkan masalah ketika mahu memandu kereta idaman.
Disebabkan fizikalnya yang agak tinggi (2.16 meter), beliau membuat keputusan untuk meminta Effortless Motors untuk mengubahsuai Corvette C8 menjadi lebih panjang.
Berdasarkan gambar, C8 Corvette Shaq itu nampak macam tidak berubah, namun ia sebenarnya telah dipanjangkan sebanyak 500 mm berbanding kereta standard.
Mujur juga model C8 ini mempunyai ciri bumbung yang boleh dibuka, jadi Shaq boleh memandu dengan selesa tanpa perlu merendahkan kepalanya sepanjang masa.
Chevrolet Corvette C8 ini merupakan generasi kelapan Corvette, dan kereta sports berenjin tengah belakang pertama General Motors selepas Pontiac Fiero.
Berpandu kepada spesifikasi Z06 yang dipandu oleh Shaq, model ini dikuasakan oleh enjin V8 flat-plane 5.5 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 670 hp.