
Seorang lelaki yang dipercayai mencuri van jenazah dari sebuah surau ditahan polis selepas kenderaan itu terlibat dalam kemalangan di Jalan Skudai, Johor Bahru, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee berkata van jenazah jenis Toyota Hiace milik Surau Nurul Haq di Jalan Besar Sungai Sayong dekat Kulai itu, dipercayai dicuri oleh suspek yang berusia 21 tahun antara 1 hingga 2 pagi tadi.
Beliau bagaimanapun berkata lelaki itu kemudian terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika melarikan van itu kira-kira jam 2.30 pagi.
“Suspek hanya cedera ringan pada muka dan kaki,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata hasil semakan mendapati lelaki itu memiliki 14 rekod jenayah lampau dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Tan berkata pihaknya sedang mengesan tiga lagi individu yang dipercayai turut terlibat dalam kes berkenaan.