Volkswagen Touareg FINAL EDITION tanda perpisahan, lebih 1.2 juta unit di serata dunia!

8

Volkswagen menutup tirai produksi Touareg generasi ketiga dengan Touareg FINAL EDITION, menandakan penghujung era SUV premium berenjin pembakaran yang telah menjadi ikon sejak lebih dua dekad.

Model ini boleh ditempah di pasaran Eropah sehingga Mac 2026, dengan harga bermula €75,025 (anggaran RM369,504).

Penampilan eksklusif untuk edisi terakhir

Touareg Final Edition menampilkan identiti tersendiri yang menyerlahkan statusnya sebagai model perpisahan.

Setiap varian menampilkan ukiran laser FINAL EDITION pada bingkai tingkap pintu belakang serta logo kulit khas pada tombol gear dan sentuhan perincian yang tidak terdapat pada model lain.

Di dalam kabin, suasana lebih mewah diserlahkan dengan pencahayaan suasana pelbagai warna, yang kini ciri standard untuk varian Elegance dan ke atas.

Tulisan FINAL EDITION turut terpancar pada panel pemuka beriluminasi dan pelapik ambang pintu bercahaya, menjadikan suasana kabin lebih premium, moden dan beremosi.

Bahagian luaran juga menampilkan beberapa elemen khas mengikut varian, termasuk pilihan warna eksklusif dan kemasan rekaan roda aloi terkini.

Dengan gaya anggun yang tegap dan moden, Touareg Final Edition menjadi simbol terakhir kepada warisan SUV mewah Volkswagen sebelum peralihan penuh ke elektrifikasi bermula.

Dua dekad dominasi SUV premium

Sejak diperkenalkan pada 2002, Touareg membawa Volkswagen ke segmen premium buat pertama kali bersama sedan Phaeton.

Model ini membuktikan keupayaan teknikal jenama Jerman itu untuk bersaing dengan pengeluar mewah lain melalui kombinasi kuasa, keselesaan dan teknologi.

Selama lebih 20 tahun, lebih 1.2 juta unit Touareg telah dijual di 39 negara, menjadikannya antara SUV paling berjaya dalam kelasnya.

Ia menjadi asas kepada pembangunan SUV Volkswagen yang lain dan pembuka jalan kepada pengenalan teknologi canggih yang akhirnya disesuaikan pada model kecil seperti Tiguan dan Golf.

Touareg generasi pertama (2002–2009)

Generasi pertama mendapat perhatian ramai selepas pelancarannya pada musim luruh 2002.

Dengan teknologi seperti penstabil olengan elektromekanikal dan suspensi udara CDC enam tahap, ia mampu melalui air sedalam 58 cm dan mendaki cerun 45 darjah.

Model paling berkuasa ialah V10 TDI 5.0L, menghasilkan 313 ps dan 750Nm, dengan pecutan 0–100km/j dalam 7.8 saat serta kelajuan maksimum 225km/j.

Lebih 471,000 unit generasi ini dijual, menjadikannya antara SUV mewah paling berjaya pada zamannya.

Touareg generasi kedua (2010–2018)

Touareg generasi kedua tampil lebih lebar, panjang dan sporti, menekankan keselesaan serta aerodinamik lebih baik.

Ia juga menjadi model pertama Volkswagen dengan sistem hibrid penuh, menggunakan enjin V6 TSI 3.0L supercas berkuasa 333 ps bersama motor elektrik 34.3kW (46 ps).

Gabungan ini menghasilkan 279kW (380 ps) dan 580Nm, memecut 0–100km/j dalam 6.5 saat dengan kelajuan maksimum 240km/j dan penggunaan bahan api 8.2L/100km.

Lebih 483,000 unit dijual antara 2010 hingga 2018.

Touareg generasi ketiga (2018–2026)

Dilancarkan pada 2018, generasi ketiga memperkenalkan struktur badan gabungan keluli dan aluminium yang lebih ringan.

Jarak roda meningkat kepada 2,904mm, manakala tinggi kenderaan dikurangkan 7mm untuk posisi pemanduan lebih dinamik.

Ruang dalaman direka semula sepenuhnya dengan kokpit digital penuh, paparan besar, sistem sambungan pintar serta pelbagai bantuan pemandu.

Penstabilan aktif elektromekanikal mampu mengesan olengan badan sehingga 400 kali sesaat, memastikan kawalan optimum di pelbagai permukaan jalan.

Sejak 2020, varian unggul Touareg R eHybrid menjadi model paling berkuasa Volkswagen, dengan sistem hibrid plug-in menghasilkan 340kW (462 ps) dan 700Nm, serta kelajuan maksimum 250km/j.

Lebih 265,000 unit generasi ketiga telah terjual. Satu lagi fakta menarik, Touareg generasi ketiga turut dipasang di Pekan, Pahang.

Pekan merupakan satu daripada dua kilang di dunia yang mengeluarkan Touareg selepas Bratislava, Slovakia.

Satu lagi yang manis, kilang Pekan turut mengeluarkan varian sporti Touareg R-Line.

Siri kejayaan dan rekod Touareg

  • Race Touareg mencipta sejarah dengan tiga kemenangan berturut-turut di Rali Dakar (2009–2011) melalui pemandu Giniel de Villiers, Carlos Sainz dan Nasser Al-Attiyah.
  • Touareg Stanley memenangi DARPA Grand Challenge 2005, menjadikannya kenderaan autonomi pertama di dunia yang menamatkan laluan sejauh 212 km tanpa pemandu.
  • Pada 2006, Touareg V10 TDI menarik pesawat Boeing 747 seberat 155 tan sejauh 150 meter, menggunakan enjin dan transmisi standard.
  • Rainer Zietlow memandu Touareg V6 TDI merentasi 22,750km Panamericana dari Argentina ke Alaska dalam masa 11 hari, 17 jam, 22 minit, mencipta rekod dunia baharu pada 2011.

Volkswagen Touareg FINAL EDITION

Volkswagen Touareg

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here