
Gara-gara didakwa memotong giliran ketika mengisi minyak, seorang lelaki cedera dalam pergelutan dengan individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Pandan Indah, Jumaat lalu.
Kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu berlaku ketika mangsa sedang mengisi minyak sebelum didatangi seorang lelaki menaiki lori yang menuduhnya memotong giliran.
Mangsa menjelaskan bahawa dia menggunakan pam yang berlainan, namun selepas membuat bayaran, suspek menghampirinya semula sebelum berlaku pertengkaran.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, semasa kejadian, suspek bertindak menyentuh hidung mangsa dengan jarinya sebelum mengeluarkan satu objek tidak dikenalpasti daripada seluar.
Beliau berkata, suspek kemudian mencucuk objek berwarna merah itu ke arah hidung mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.
“Pergelutan berlaku antara kedua-dua pihak menyebabkan mangsa mengalami luka pada hidung dan tangan kiri serta bengkak di bahagian belakang kepala.
“Pergaduhan itu kemudiannya dileraikan orang awam sebelum suspek beredar menaiki lori,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang masih bebas.