
Polis menahan seorang lelaki dalam tempoh kurang 24 jam selepas disyaki melibas parang hingga mencederakan seorang remaja perempuan ketika membonceng motosikal.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian menimpa mangsa berusia 18 tahun itu berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa bersama kakak iparnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 9, Tangga Batu, Tanjung Kling.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang menyerangnya malah memaklumkan tidak mempunyai musuh atau sebarang perselisihan faham dengan mana-mana individu.
“Ya kita dah tangkap suspek,” katanya.
Jelas beliau, mangsa yang kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka turut memaklumkan baru tiga minggu berpindah dari Tangkak, Johor ke Melaka untuk bekerja sebagai operator kilang.
Tambahnya, sebelum kejadian mangsa membonceng motosikal ditunggang kakak iparnya berusia 21 tahun sebelum tiba-tiba berasa sakit di bahagian belakang dan meminta untuk berhenti di tepi jalan.
“Kakak ipar mangsa kemudian ternampak sebuahYamaha LC V8 berwarna biru gelap ditunggang seorang lelaki memakai jaket warna gelap dan topi keledar jenis MS warna biru memecut laju meninggalkan lokasi,” katanya lagi.
Kemudian, suspek berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dan dijangka direman pagi ini bagi membantu siasatan lanjut.