
Kira-kira 100 buah perahu nelayan bertindak menghalang kapal milik Petronas yang sedang menjalankan eksplorasi minyak dan gas serta tinjauan seismik 3 Dimensi di Lapangan Hidayah, Wilayah Kerja Utara Madura II, perairan Ketapang, Kabupaten Sampang, pada Jumaat lalu.
Tindakan berkenaan terjadi pada jam 12.00 tengah hari (waktu tempatan), apabila nelayan meminta kapal Petronas menghentikan aktivitinya di wilayah pantai utara (pantura).
Salah seorang nelayan, Faisol Rahman menjelaskankapal tersebut telah beroperasi di perairan Kecamatan Ketapang selama tiga hari.
“Kapal itu kelihatan sedang melepaskan gulungan kabel ke dasar laut. Pada hari keempat, kami bertindak menghalau kapal Petronas,” ujarnya.
Faisol menambah, nelayan meminta kapal Petronas menggulung semula kabel yang telah dilepaskan ke dasar laut.
“Setelah mereka selesai menggulung kabel, kami meminta mereka tidak beraktiviti lagi dan segera beredar,” katanya.
Menuntut Ganti Rugi Rumpon Rosak
Aksi ini juga berkaitan dengan tuntutan ganti rugi ke atas rumpon (unjuran ikan/tukun) yang masih belum dibayar.
Pada Ogos 2024, ratusan rumpon nelayan dilaporkan rosak dan hilang akibat diseret oleh kapal Petronas yang sedang melakukan tinjauan seismik.
“Ketika itu, Petronas berjanji mahu membayar ganti rugi. Hingga kini, tiada apa-apa bayaranpun,” dedah Faisol.
Jelasnya, difahamkan bahawa ganti rugi rumpon telah dibayar oleh Petronas, namun dana tersebut tidak diterima oleh nelayan.
“Kami tidak tahu bentuk wang itu dan nelayan dipastikan belum terima ganti rugi, sama sekali,” tegasnya.
Winarno, seorang lagi nelayan yang menyerati protes berkenaan mengesahkan bahawa tindakan menghalang kapal Petronas merupakan bentuk protes terhadap syarikat tersebut.
“Sebanyak 100 perahu nelayan yang turut serta ke tengah laut,” katanya.
Winarno menambah, ganti rugi untuk rumpon di tiga kecamatan di Kabupaten Sampang dan dua kecamatan di Kabupaten Pamekasan masih belum diterima oleh nelayan.
“Sebelum ada ganti rugi, kami akan terus menghalang kapal yang beraktiviti di sini,” tegasnya.
Menurut Kompas, Pengurus Kanan Hubungan Kerajaan dan Pihak Berkepentingan Petronas, Erik Yogapurana belum dapat dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.
Beliau hanya menyatakan kenyataan rasmi mengenai ganti rugi rumpon nelayan masih dalam proses kajian semula.
@ratunayyala masyarakat menolak kedatangan petronas. #trending #migasindonesia #petronas #viral #pulau