Tiru ‘tutorial’ YouTube curi motor, remaja akhirnya dicekup polis

45

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di Samut Prakan, Thailand ditahan polis kerana mencuri motosikal.

Tangkapan itu membawa kepada pendedahan apabila dia mengaku mempelajarinya selepas menonton tutorial di YouTube.

Remaja yang dikenali dengan nama samaran ‘Boy’  itu ditahan selepas jenayah berjaya dikesan polis. 

Menurut laporan Workpoint News Thailand, rakaman CCTV mendedahkan suspek masuk ke kawasan parkir sebuah asrama sekitar jam 11 malam, pada 8 Oktober lalu.

Dia dilihat menggunakan kakinya untuk mematahkan kunci stereng motosikal Yamaha Mio yang diletakkan di hadapan asrama tersebut.

Suspek kemudian menolak motosikal itu keluar, dengan niat untuk membawanya pulang ke rumah.

Mangsa hanya menyedari kehilangan motosikalnya keesokan pagi dan membuat laporan polis. Bertindak atas maklumat tersebut, pihak berkuasa berjaya mengesan remaja itu dan menemui semula motosikal tersebut hanya dalam beberapa jam selepas kejadian.

Tidak Mampu Beli, Tiru Langkah Dari YouTube

Semasa disoal siasat, ‘Boy’ mengaku nekad melakukan jenayah berkenaan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap serta tidak mampu membeli kenderaan sendiri. 

Dia berkongsi menonton video YouTube yang menunjukkan langkah demi langkah cara mencuri motosikal. Terinspirasi dengan ‘tutorial’ tersebut, dia memutuskan untuk mencubanya sendiri.

‘Boy’ merancang untuk menukar suis penghidup motosikal itu di rumah. Namun, polis berjaya mengesannya sebelum dia sempat berbuat demikian yang membawa kepada penahanannya.

Remaja yang dilaporkan berasal dari latar belakang keluarga susah dan sering meminjam motosikal rakan sebelum itu kini didakwa atas kesalahan mencuri. 

Kes akan diserahkan kepada Mahkamah Juvana dan Keluarga untuk tindakan undang-undang lanjut.

Tindakan remaja 15 tahun tersebut menimbulkan kebimbangan meluas mengenai pengaruh kandungan dalam talian yang berunsur jenayah yang mana teknik-teknik jenayah boleh diakses dengan begitu mudah oleh sesiapa sahaja.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here