Toyota Land Cruiser FJ, pakej legenda Land Cruiser dalam pakej lebih kecil!

10

Toyota Motor Corporation memperkenalkan model baharu Land Cruiser FJ yang membuat penampilan sulung dunia pada 20 Oktober 2025.

Pelancaran di pasaran Jepun dirancang sekitar pertengahan tahun 2026 dan akan dipamerkan secara rasmi di Japan Mobility Show 2025 pada November depan.

Legasi Lebih 70 Tahun

Land Cruiser bermula pada tahun 1951 apabila Toyota BJ menjadi kenderaan pertama mendaki hingga ke stesen keenam Gunung Fuji.

Sejak itu, model ini telah memenuhi misinya untuk membawa keselamatan dan ketenangan kepada pelbagai lapisan pengguna di kawasan yang sukar dicapai kenderaan biasa.

Dengan jumlah jualan sekitar 12,150,000 unit sehingga Ogos 2025 di lebih 190 negara dan wilayah, termasuk Lexus LX dan GX, Land Cruiser telah menjadi objek sokongan kehidupan dan sumber rezeki masyarakat di seluruh dunia.

Ia kekal sebagai model utama Toyota yang telah dibangunkan dan diperhalusi oleh pelanggan selama lebih 70 tahun, menjadikannya simbol ketahanan sebenar jenama ini.

Evolusi Barisan Land Cruiser

Keluarga Land Cruiser kini terdiri daripada tiga siri utama, Station Wagon yang menampilkan teknologi terkini seperti siri 300, model Heavy Duty dengan ketahanan tinggi seperti siri 70 dan model teras Land Cruiser 250 yang diperkenalkan pada 2024 dengan semangat asal sebagai kenderaan ringkas dan teguh untuk kegunaan harian.

Kemunculan Land Cruiser FJ memperluas nilai Freedom & Joy yang menjadi teras pengalaman Land Cruiser.

Ia membolehkan pemilik menikmati pengalaman pengembaraan mengikut gaya hidup sendiri, sambil mengekalkan kebolehpercayaan, ketahanan dan keupayaan off-road yang telah sinonim dengan model ini sejak generasi pertama.

Rekaan Luaran dan Dalaman

Land Cruiser FJ menggabungkan warisan klasik dan elemen moden dalam satu pakej serba berfungsi.

Gayaan kabin segi empat menekankan ruang penumpang dan kapasiti kargo, manakala bentuk badan kompak dengan potongan serong (chamfered) memberikan imej kukuh dan dinamik.

Bahagian depan dan belakang menampilkan bampar serta fender sasa yang menyerlahkan kestabilan fizikal.

Bampar penjuru depan dan belakang jenis bersegmen boleh ditanggalkan, membolehkan hanya bahagian rosak diganti serta memberi ruang kepada pemilik untuk melakukan penyesuaian sendiri.

Bahagian dalam pula direka agar kawalan pemanduan lebih intuitif dan jelas dalam pelbagai situasi.

Papan pemuka mendatar membantu pemandu mengenal pasti kedudukan kenderaan, paparan monitor dan suis disusun rapat bagi mengurangkan pergerakan mata, manakala tuil gear direka untuk operasi semula jadi dan ergonomik.

Rekaan bahagian hadapan kabin dan papan pemuka rendah serta garis tingkap sisi rendah meningkatkan pandangan ke hadapan dan ke sisi, membantu pemanduan di laluan sempit atau mencabar.

Sistem Toyota Safety Sense, termasuk Pre-Collision Safety System, disediakan bagi memberi keyakinan tambahan semasa pemanduan harian mahupun di jalan luar bandar.

Rangkaian Kuasa dan Keupayaan Off-Road

Land Cruiser FJ menggunakan enjin 2TR-FE 2.7 liter petrol yang digandingkan dengan transmisi automatik 6 Super ECT dan sistem pacuan empat roda separa masa (4WD).

Enjin ini menghasilkan 163 ps dan tork puncak 246Nm, menawarkan keseimbangan antara prestasi, kecekapan dan ketahanan untuk pelbagai permukaan jalan.

Platformnya berasaskan siri IMV yang telah diperhalusi untuk memberikan kelegaan tanah tinggi serta sudut mendaki dan pelepasan (approach/departure) yang baik.

Ia menawarkan artikulasi setanding Land Cruiser 70, memastikan tayar kekal mencengkam permukaan tidak rata untuk pemanduan stabil di laluan off-road.

Jarak roda 270 milimeter lebih pendek berbanding Land Cruiser 250 membantu kecekapan pusingan dengan jejari minimum 5.5 meter, menjadikannya lebih lincah di kawasan sempit.

Struktur bawah lantai turut diperkukuh bagi meningkatkan kekakuan casis dan kestabilan pengendalian.

Toyota melaksanakan ujian off-road menyeluruh semasa pembangunan bagi memastikan tiga nilai utama Land Cruiser iaitu kebolehpercayaan, ketahanan dan keupayaan lasak terus dikekalkan.

Penyesuaian dan Gaya

Toyota menyediakan pelbagai pilihan aksesori dan item tambahan mengikut pasaran untuk memberi lebih ruang penyesuaian.

Di antara yang ditawarkan termasuk lampu utama bulat yang mengimbau gaya klasik Land Cruiser terdahulu, panel MOLLE untuk pemasangan peralatan aktiviti luar serta pelbagai elemen rekaan yang menonjolkan identiti off-road yang kuat.

Bampar boleh tanggal dan panel modular memberi kemudahan dalam proses pembaikan dan pengubahsuaian, menjadikan FJ kenderaan yang bukan sahaja tahan lasak tetapi juga mudah diubah suai mengikut kehendak pengguna.

Mobiliti Baharu dengan Land Hopper

Toyota turut memperkenalkan Land Hopper, kenderaan mobiliti peribadi elektrik yang direka untuk membawa manusia dan kargo ke kawasan yang tidak dapat dicapai oleh Land Cruiser, seperti laluan tanah, hutan dan pergunungan.

Land Hopper boleh disimpan di ruang kargo Land Cruiser dan digunakan sebagai sambungan kepada pengembaraan luar.

Tarikh pelancarannya masih belum diumumkan secara rasmi.

Spesifikasi Utama Toyota Land Cruiser FJ

  • Panjang keseluruhan: 4,575 milimeter
  • Lebar keseluruhan: 1,855 milimeter
  • Tinggi keseluruhan: 1,960 milimeter
  • Jarak roda: 2,580 milimeter
  • Kapasiti tempat duduk: Dua baris, lima penumpang
  • Enjin: 2TR-FE 2.7 liter petrol
  • Sistem pacuan: 4WD separa masa
  • Transmisi: Automatik 6 Super ECT
  • Kuasa maksimum: 163 ps
  • Tork maksimum: 246Nm

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here