Kastam rampas 47 kenderaan mewah bernilai RM6.2 juta

38

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 47 kenderaan mewah pelbagai jenis dan jenama bernilai lebih RM6.2 juta termasuk cukai sejak Januari hingga 16 Oktober lalu.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan itu dijalankan di Kelantan, Johor, dan Kuala Lumpur melibatkan kenderaan yang diletakkan di parkir awam serta kawasan kondominium sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Menurutnya, kenderaan berkenaan dipercayai akan dijual tanpa melalui prosedur cukai dan dokumen yang sah.

Jelasnya, sindiket itu dikatakan menjual kenderaan mewah menggunakan pelbagai kaedah termasuklah mencari pelanggan melalui media sosial.

“Antara kenderaan yang dirampas ialah Volkswagen Beetle, Volvo S80, BMW 325i, Maserati Ghibli, Honda Jazz, Toyota Vellfire dan Mercedes Benz yang bernilai di antara RM50,000 hingga RM185,000.

“Sindiket itu juga dipercayai menawarkan jualan kenderaan pada harga potongan antara 35 hingga 40 peratus lebih murah daripada harga pasaran bagi menarik minat pembeli tempatan,” katanya. 

Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat permintaan yang tinggi di pasaran Malaysia yang mendorong individu tertentu sanggup membawa masuk kenderaan itu bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna tempatan.

“Modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah dengan membawa masuk kenderaan mewah berkenaan ke Malaysia dipercayai bermula dengan memperoleh kenderaan yang sudah dilupuskan di pasaran negara jiran.

“Kemungkinan besar, kenderaan ini dibawa masuk melalui pintu masuk yang sah sebelum diletakkan di sekitar Johor Bharu sebelum di edarkan di pasaran Malaysia untuk tujuan jualan atau kegunaan tertentu,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here